Bismillahirahmanirahim..
InsyaAllah kesempatan yang ada saya ingin berkongsi sedikit tentang bulan Zulhijjah.
PENDAHULUAN
Bulan Zulhijjah merupakan antara satu bulan yang cukup tinggi nilainya di sisi Islam. Kenapa? Kerana 10 hari terawal Zulhijjah telah disebut di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW akan keberkatan yang dilimpahi Allah - satu berita yang tidak dapat disangkal lagi keshahihan kerana ianya adalah wahyu dari Allah SWT sendiri. Jom bersama kita lihat satu per satu!
Di dalam Al-Quran, Allah SWT menyebutnya dalam surah Al-Fajr, ayat 1-3;
"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah), dan yang genap dan ganjil"
Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin. Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan. Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.
“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”
(HR Bukhari)
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
(HR Ahmad)
“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah”
(Riwayat Muslim)
Dan banyak lagi hadis berkaitan dengannya. Boleh anda mencarinya sendiri di rata-rata tempat sama ada dalam kitab atau laman sesawang. Tapi kenalpastilah dahulu ia benar dan shahih!
APA AMALAN YANG DIANJURKAN?
1. Tidak lain dan tidak bukan sudah tentu ibadah Haji dan Umrah yang akan menjadi sebaik-baik amalan. Antara hadis yang berkaitannya ialah ;
“Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah – . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi ;
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim Rahimahullah pula meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
3. Hari yang digalakkan untuk beribadah tidak kira bentuk apa-apa pun sebagaimana hadis nabi ;
"Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, “Bukankah jihad fi sabililllah?” Jawab baginda, “Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit.”
(Riwayat Al-Bukhari)
4. Melakukan Ibadah korban. Sebagaimana dalam Al-Quran telah menyebut di dalam surah Al-Hajj, ayat 37 :
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Ada banyak lagi amalan yang boleh dilakukan padanya dan di atas adalah sebahagian.
KESIMPULAN
10 hari awal bulan Zulhijjah initidak kurang hebatnya dengan hari-hari dalam bulan Ramadhan misalnya. Kehangatan yang dirasa dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan seharusnya dirasa pada 10 hari terawl bulan Zulhijjah. Mudahan amalan-amalan yang dilakukan padanya diganjari Allah SWT sebagai amal soleh dan mendapat pahala dan rahmat dari Allah SWT.
SELAMAT MENJALANI IBADAH!
Wallahu a'lam..
*Anda juga boleh membaca lebih artikel yang berkaitan dengan 10 hari Zulhijjah di:
dan lain-lain..