..:: Cebisan Kenangan ::..

Saturday, October 29, 2011

MASA dan KITA

 Masa terus berjalan detik sedetik

Bismillahirahmanirrahim.. Masih diizinkan-Nya untuk terus hidup di muka bumi ini...

InsyaAllah kali ini saya akan cuba tampil bersama satu peringatan bersama.

MASA DAN KITA

Jika anda cuti sekolah atau belajar dan anda pulang ke kampung halaman, apa yang anda akan lakukan?

Nak pergi jalan-jalan?  Ziarah kawan-kawan? Nak pergi melancong? Nak beli itu dan ini?

Tapi, jika perancangan itu tidak terlaksana, apa yang akan dirasa?

Bosan? Tak tau buat apa? Entah? Tidur? Mungkin itu jawapan kita, bukan? Tetapi itulah yang terjadi dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Dan daripada sebab itu kita akan mendapati masyarakat kini lebih suka kepada perkara-perkara dianggapkan membuang masa seperti main game, tidur, pergi tempat-tempat hiburan, layan youtube dan layan movie.
Sedar atau tidak, kadang-kadang kita juga termasuk dalam golong sedemikian rupa dan iulah dinamakan realiti. Jadi, jom kita berbicara mengenai ini.

APA PUNCANYA?


Saya ada beberapa pandangan dan tidak mengatakan pandangan ini benar.Sekadar ingin peringat-memperingati. Antaranya:

1. Sikap terhadap ruang masa.

Masa tidak pernah berhenti walau seketika. Ia akan tetap berjalan tanpa henti. Jadi, tindakan kita juga seharusnya begitu - terus berjalan tanpa henti. Apa maksud itu? Ya. Terus mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat. Tapi.. Saya tidak tahu buat apa? Itu dinamakan alasan. Sebagai seorang muslim, kita ketahui ajaran Islam bukanlah agama yang menyulitkan atau menyusahkan tetapi merupakan ajaran cukup mudah dan lapang. Jadi, tolak ketepi sebarang bentuk alasan yang menipu  itu. Lakukanlah apa jua perkara asalkan tidak bercanggah dengan Islam.

2. Kelalaian terhadap diri.

Pepatah ada menyatakan: Jika kamu tidak menyibukkan dengan kebaikan, keburukan akan menyibukkan kamu. Benar pepatah itu. Jika kita perhatikan hari demi hari, corak perubahan terhadap diri akan berubah dari semasa ke semasa mengikut pengisian masa yang dilakukan. Jika benar-benar merancang ke arah kebaikan, insyaAllah kebaikan yang akan diperolehi. Tetapi, jika tiada perancangan yang dilakukan, maka masa yang akan membunuh kita dengan kelalaian.

JOM ATASI

1. Mengerti perjalanan masih jauh


Perjalanan sebenar adalah perjalanan yang tiada penamat. Jadi, bekalan yang bakal dibawa juga perlu dipersiapkan bagi perjalanan yang infiniti itu. Tidak cukup sekadar 'ala kadar' sahaja. Terus tambah dari semasa ke semasa.

Bila dan bagaimana? Hari yang dilaluilah jawapannya. Jadikan hari-hari yang mendatang diisi dengan perkara-perkara yang meng'untung'kan diri dan itulah yang akan dijadikan bekalan. Dah buat perkara wajib, cuba pula lakukan perkara-perkara yang sunat pula. Dah tinggal perkara-perkara yang haram, cuba hindari perkara-perkara yang syubhah pula. Dan begitulah seterusnya. Jadikan hari kemudian lebih baik daripada sebelumnya.

2. Cari alasan untuk di'tranfer'kan kepada bekalan.


Dunia sekarang makin maju dan canggih, bukan? Dengan Facebooknya, Blognya, kemudahan infrasrukturnya, kemudahan pengangkutannya dan banyak lagi perkara yang dahulunya tidak ada tetapi sekarang sudah ada. Biarlah teknologi terus berkembang asalkan kekreativiti kita juga terus berkembang dengan menjadikan segala jua perkara dijadikan ibadah yang diganjari pahala dan seterusnya menjadi bekalan yang  berguna untuk menghadap-Nya nanti. Gunalah teknologi untuk mebuat kebajikan misalnya, menyebarkan kefahaman dan sebagainya.


PENUTUP

Jangan biarkan diri terus dibuai mimpi dan permainan dunia. Masa hanya datang sekali dan kematian belum diketahui. Jadi, teruslah berusaha mencari perkara-perkara yang mampu men'tranfer'kannya kepada ibadah dan mudahan dijadikan bekalan berjumpa dengannya kelak.

Akhir kata, bersama kita perbaiki diri dari semasa ke semasa.

Wallahu a'lam..

No comments: