Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( 3rd Edition)
Sambungan yang lalu, cuba mencuri masa yang senggang. Dengan kudrat yang terhad dan terbatas. Ilham Ilahi gugur menghiasi benak ini. Menterjemahkan butir bicara dalam bentuk penulisan. Dengan lafaz bismillah. Saya mula menulis. Mungkin ini adalah yang terakhir untuk segmen istimewa ini. Jika ada kelapangan nanti,Insya Allah saya akan menyambungnya. Itu pun bergantung kepada situasi dan kekosongan masa. Moga Allah Redha…
Panduan Penulisan Teks Syarahan:
7.Memurnikan bahasa
Pembaca yang dirahmati, setelah segala isi dikupas dengan panjang lebar. Maka eloklah untuk disemak kembali ayat yang digunakan. Perhatikan setiap patah perkataan yang dinukilkan. Menurut petua daripada Allahyarhamah Ummi Halimaton bin Husin, pastikan dalam ayat tersebut paling kurang ada frasa menarik. Apakah itu? Ia merupakan ayat yang jarang digunakan jarang digunakan dalam pertuturan biasa, tetapi sering digunakan dalam penulisan. Selain itu, cara ingin memurnikan bahasa juga melalui mempelbagaikan perkataan sinonim, meletakkan ungkapan yang menarik,mutiara kata dan juga peribahasa yang bersesuaian….Insya Allah, ini sekadar perkongsian ilmu..
1. Frasa Menarik ini jarang digunakan dalam pertuturan harian. Penggunaan perkataan ini sememangnya akan memberikan impak yang berlainan dan anda sendiri akan merasai kelainan apabila menggunakan frasa ini. Saya akan memberikan contoh perkataan yang saya biasa dengar :
Contoh : Anjakan paradigma, lompatan saujana, integrasi nasional, indikator dominan, senatero dunia dan lain-lain yang difikirkan bertepatan.
2. Sinonim ini pula bermaksud perkataan seerti, iaitu perkataan yang sama maksud tetapi berlainan sebutan. Hal ini kerana, mempelbagaikan penggunaan ayat menyebabkan syarahan anda akan kelihatan lebih banyak kosa kata dan bertambah . Tidak perlu mengulang perkataan yang sama walaupun maksud tetap sama!
Contoh : Kesan - impak, implikasi, natijah, akibat,al-hasil
Terkenal- tersohor, terkemuka, termahsyur,
3. Pepatah dan Ungkapan yang menarik juga boleh juga dikatakan sebagai faktor yang utama untuk menjadikan bahasa penyampaian lebih menarik dan audiens pun ‘tertarik’. Pemilihan ungkapan dan pepatah yang amat tepat amat penting juga bagi memberikan sedikit ‘aura’ kepada panel hakim dan audiens. Ungkapan ini bukan sahaja melihat kepada pepatah Melayu sahaja. Bahkan boleh sahaja dimbil daripada bahasa lain dan dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu. Banyak sumber yang boleh kita perolehi untuk mendapatkan ungkapan ini.
Contoh : Sudah terang, lagikan bersuluh, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dll.
4. Mutiara Kata juga boleh dijadikan sebagai pe’manis’ bahasa. Selalunya mutiara kata ini ini diambil daripada kata- kata ilmuan, alim ulama’, serta tokoh yang terkemuka. Syarahan akan menjadi lebih menarik dengan adanya ‘perencah’ bahasa ini. Antara tokoh yang tersohor yang boleh diambil kata-kata mereka adalah Dr Yusof Al-Qardhawi, Imam Syafie, Khulafa’ Ar-Rasyidin, para Sahabat Rasulullah dan lain-lain. Tidak kiralah sama ada tokoh tersebut warga tempatan atau antarabangsa, yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika bersesuaian dan elok dengan logik akal, maka dipersilakan kata-kata hikmah tersebut menghiasi syarahan anda.
Contoh : “Jika kamu ingin melihat sesebuah Negara pada masa hadapan maka lihatlah pemudanya pada hari ini”. (Dr Yusof Al-Qardhawi)
5. Peribahasa yang bersesuaian seharusnya diselitkan jua dalam syarahan ini. Amat berpatutan dan akan menjadikan syarahan anda seolah-olah lebih bernyawa dan bernafas segar. Kurang yakin? Cubalah sendiri….
Contoh : bagai aur dengan tebing, umpama rembulan jatuh ke riba, laksana kacang lupakan kulit, dan sebagainya
Setakat itu dahulu perkongsian kali ini, saya kira bagi segmen untuk ini ianya sudah tamat.
Jika ada kelompongan dan kecacatan, sila maklumkan ya.
Moga kita dapat saling bertukar-tukar informasi.
Ucapan jazakallahhu kahiran kathira kepada ‘sifu-sifu’ saya dalam bidang ini :
1. Hilal Asyraf bin Abd Razak
2. Muhammad Rafhan Ridha bin Mohd Diah
3. Nu’man Afifi bin Sa’adan
4. Allayarhamah Ummi Halimaton bin Husin
(guru bahasa Melayu saya ketika tingkatan tiga)
5. Ustaz Khairul Azhar bin Bashiron
No comments:
Post a Comment