..:: Cebisan Kenangan ::..

Sunday, April 10, 2011

..:: Syarahan : Wehdah Pemangkin Khaira Ummah ::..

Bersama menyemai mahabbah fillah.


 Auzubillahi…..

Bismillahirahminirrahim….

Sekalung penghormatan buat saudara pengerusi majlis, saf kehakiman yang arif lagi bijaksana, guru-guru pendidik anak bangsa, seterusnya sidang hadirin warga dewan sekalian….

‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’

Jesteru, Tampilnya saya di podium gagah ini bagi melakarkan wacana :
Wehdah Pemangkin Khaira Ummah

Sebelum kaki deras meniti setiap elemen-elemen yang ingin saya utarakan. Molek kiranya definisi wacana saya huraikan…

Wehdah berbahasa arab membawa erti kesatuan
Pemangkin boleh ditakrifkan sebagai menjana atau melahirkan
Khaira ummah pula terangkum dalam makna tersurat, masyarakat gemilang’

Secara totalnya, wehdah pemangkin khaira ummah menjunjung erti : kesatuan mapan menjana masyarakat gemilang.

Hadirin warga dewan yang dimuliakan;

Kesatuan memupuk perpaduan mapan

Perpaduan merujuk kepada interaksi dan komunikasi yang baik dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Nilai perpaduan ini hanya dapat diwujudkan apabila kesatuan timbul dalam jiwa dan minda setiap anggota masyarakat. Hakikatnya, perpaduan amat penting dalam kehidupan. Ia diperlukan untuk menumbangkan kepimpinan yang zalim seperti yang diterjemahkan di Mesir. Tahukah kalian, perpaduan yang kukuh ini diperolehi melalui ikatan ukhwah dan kesatuan yang erat. Persaudaraan sesama muslim ibarat sekujur tubuh, jika kulit merasa sakit, mata mengalirkan air, mulut mengaduh sakit, dan seluruh anggota memberi sokongan. Nah, inilah natijah yang melahirkan perpaduan yang diidamkan setiap insan.

Hal in bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Seorang mukmin adalah cerminan bagi mukmin yang lain”
(HR At-Thabrani dari Anas R.Anhu)

Hadis ini memperlihatkan bahwa kesatuan akan menyebabkan karakter mukmin seolah-olah sama dan menjadi cermin kepada temannya yang lain. Justeru, benarlah perpaduan dapat dijana andai kesatuan terlaksana.


Kesatuan Pemangkin Intelektual Insan

Pernahkah kalian tahu pernah wujud suatu generasi yang telah merubah corak peradaban dunia. Dengan menggunakan intelektual yang mereka miliki telah menyinari alam buana ini daripada kerosakan kepada sejahtera. Merekalah sahabat seperjuangan rasul yang memberi impak kepada dunia. Membangunkan yang tidur, mencelikkan yang buta. Lihatlah, tertubuhnya institusi pendidikan Baghdad yang menjadi pusat rujukan ilmuan dunia ketika era pemetintahan Abbasiyah. Ketahuilah bahawa, kunci mereka berjaya melakarkan kejayaan adalah kerana kesatuan yang utuh dan kukuh dalam kalangan mereka menjadikan intelektual nadi kehidupan.

Sabda junjungan mulia, 
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim”

Justeru, ukhwah dijaga intelek terjana.

Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah

Mahabbah atau kasih sayang amat diperlukan oleh manusia. Cinta dan manusia tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Mana mungkin dapat hidup bahagia jika kasih sayang dan cinta tidak dipupuk. Kesatuan dan perpaduan yang diimpikan tanpa cinta kasih sayang hanyalah angan-angan kosong.

Sabda Rasulullah : 
‘Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirnya sendiri.”
(Riwayat malik)

Lihatlah, keimanan yang tulen dapat dibuktikan andainya kecintaan dipupuk di dalam jiwa. Aspek emosi ini seharusnya dipandang serius bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni. Al Hasil, persaudaraan membuahkan kecintaan sesama manusia.

Kesatuan menjana ekonomi nan stabil

Perhatikan bursa saham ekonomi Negara saban tahun, kejap naik, kejap menurun dengan mendadak. Mengapakah fenomena ini seringkali terjadi? Tiada kesatuan dan kefahaman sememangnya menjadi punca krisis ini berlaku. Sikap berdendam, mengambil kesempatan, dan tamak mengakibatkan ramai peniaga yang baru sahaja menceburi bidang ini terpaksa gulung tikar.

“…..Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Sesungguhnya amat berat siksaanNya”
(Al-Maidah :2)

Hakikatnya, bantu-membantu dalam kebaikan dapat mendokong ekonomi Negara bergerak maju setapak dihadapan. Sikap ini haruslah dijunjung mulia kerana mencontohi akhlak nabi yang suka berniaga. Impaknya, masalah krisis ekonnomi pasti dapat diatasi.

Kesatuan Memartabatkan Negara Berdaulat

Jika disoroti kembali lembaran sejarah dahulu kala. Ketika Islam mula berkembang. Perhatikan bagaimana negara Madinah yang baru sahaja dibina mampu membuka mata dunia dengan memacu kegemilangan. Gandingan bahu mambahu antara rakyat dengan pemerintah di atas landasan akidah yang benar membentuk sebuah Negara yang berdaulat. Inilah natijah, ukhwah dan wehdah yang ditanamkan di dada setiap individu rakyatnya yang mementingkan persaudaraan, memerangi kesukuan lantas membentuk daulah islamiyah yang tersergam indah. Apakah formula rahsia kejayaan ini?

Maka sebenarnya mereka amat menitkberatkan firman Allah yang berbunyi :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Benar, mengikat tali persahabatan dengan teman seperjuangan serta mengelakkan daripada pertelingkahan mampu memupuk kesatuan sekali gus memartabatkan daulah islamiyya ke seantero dunia. Lantas, semangat kekitaan yang padu menjamin kestabilan dan keharmonian Negara.

Akhir kalam, dengan mengambil kelima-lima hujah saya sebentar tadi. Maka dapatlah deduksikan bahawa kesatuan yang utuh dapat menjana peribadi ummah yang gemilang.
Kita juga memahami bahawa :

1.Kesatuan memupuk perpaduan mapan
2.Kesatuan Pemangkin Intelektual Insan
3.Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah
4.Kesatuan menjana ekonomi Nan stabil
5.Kesatuan Memartabatkan Negara Berdaulat


Konklusinya, wehdah atau kesatuan merupakan antara prasyarat yang amat penting bagi membentuk khaira ummah. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.

Sekian, wabillahitaufiq…..
Perwakilan Putera/Puteri At-toyyibah mengundur diri……

~ nukilan - Kalam-Azimat ~

No comments: