..:: Cebisan Kenangan ::..

Tuesday, April 19, 2011

Cetusan: Belajar Erti Bersyukur

Oleh :kalam-azimat


"Berdoa merupakan salah satu tanda bersyukurnya seorang hamba..."

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah

Bersyukur kepada Allah SWT kerna dengan keizinNYA, Allah memberi peluang kepada saya untuk terus tetap setia mencoretkan sesuatu dalam blog ini, tidak lain tidak bukan untuk melaksanakan tuntutan sebagai hamba Allah selaras dengan dalil yang masyhur Ad-Dzariat ayat 56 :

“Tidak aku (Allah) ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk berubudiyyah kepada Allah SWT”

Maka dengan pantas jari-jemari pemberiaan Allah ini bergerak tangkas menekan key board membentuk kalimah yang diterjemahkan di layar skrin. Dengan niat berkongsi sesuatu tentang syukur. Apakah kita benar-benar mengerti erti syukur itu? Sama-sama koreksi diri.

Muqadimah

“Ala best nyer dia ada kereta Mercedez, aku ni apa la yang ada sangat”

“Ish, jeles nyer aku, ko punya rumah punyalah besar..Aku pula rumah setingkat je”

“Mantop kau, ada sampai 5-6 bijik kereta. Aku jangan haraplah. Sebiji pun tak larat”

Begitulah sekitar perbincangan dan diskusi yang sering berlaku pada kita. Rungutan-rungutan merasai ketidak cukupan sering sahaja berlegar-legar dalam kotak minda kita. Hakikatnya merasai ketidakcukupan dengan apa yang ada atau sinonim dengan istilah’ tidak bersyukur ‘ membuatkan diri ini tidak selesa dan sentiasa ingin sama taraf dengan orang lain walaupun tidak berkemampuan. Sedarkah kita ini adalah penyakit yang harus dirawat dengan segera??

Sifat manusia ini sememangnya akan sentiasa merasai tidak cukup dengan apa yang ada. Misalnya telah mempunyai wang berjuta-juta di dalam bank, tetapi wang tersebut dirasakan umpama seringgit dua sahaja.Masih banyak wang yang belum dimiliki. Seandainya telah mempunyai sebuah rumah banglo yang besar dan mewah. Terasa ingin menambah lagi 5 biji rumah rumah yang lebih besar,mewah dan canggih lagi daripada yang asalnya. Sekiranya telah mempunyai perabot rumah yang lengkap, terasa ingin mengubah suai lagi dengan membeli perabot yang jauh lebih mahal. Ketika hanset yang berada di tangan kita ini masih elok dan boleh diguna pakai. Kita bertindak menukarnya kerana kekurangan ‘pixel’ dalam pakej kamera hanset itu.

Saya teringat ketika belajar ekonomi dahulu. Sumber ekonomi sememangnya tidak mencukupi jika ingin memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad! Perkara ini bertambah parah apabila usahawan dan peniaga sentiasa meningkatkan mutu produk mereka sehingga kita sentiasa merasa tidak cukup apa yang ada. Merasai ketidakcukupan sehingga title ‘orang yang berharta’ umpama tidak benar.

Tidak bersyukur ini sememangnya mengaburi mata kita. Selalunya nikmat yang datang bertandang tidak kita ‘nampak’ tetapi yang dicari juga nikmat yang belum diperolehi. Nikmat tangan, kaki, tubuh badan, kulit, rambut jarang diambil peduli tetapi apabila Allah menarik kembali nikmat itu. Maka ketika itulah mula menuduh Allah tidak sayangkan hamba bagaikan Allah tidak pernah memberikan nikmat itu.

Itulah hakikat manusia yang serba lemah ini. Sering menghitung nikmat yang telah hilang!

Alangkah baiknya jika bersyukur!

Saya bukanlah orang yang tidak inginkan kemewahan atau pun kesenangan hidup. Bahkan itulah idaman setiap makhluk yang bergelar manusia. Saya hanya mengajak untuk kita kembali berfikir akan apa yang kita miliki supaya kita dapat belajar erti syukur. Pabila tidak belajar untuk syukur, seolah-olah kita tidak mempunyai apa-apa pun dalam kehidupan termasuklah harta, dan segala jenis kenikmatan. Bersyukurlah supaya dapat kita menikmati kurniaan yang Allah SWT berikan.

Sebenarnya, bersyukurnya kita dengan nikmat Allah yang berikan kepada kita adalah suatu keputusan yang sangat tepat. Di sini saya gariskan dua ‘hadiah’ Allah sekali gus kepada hambanya yang bersyukur.

Bahagia, ketenangan hati

Bagi individu yang sentiasa bersyukur pasti akan merasa tenang dan aman. Pernahkah diperhatikan wajah individu ini? Amat pasrah dengan apa yang dimiliki. Amat redha dengan ketentuan daripada Al-Khalik. Mereka ini akan sentiasa tersenyum, bertenaga dan bahgia. Itulah hadiah Allah kepada mereka yang menjadikan bersyukur moto kehidupan. Mereka ini jauh daripada berprasangka, sifat tamak haloba, dengki-berdengkian dan sebagainya. Tidak ada lintasan niat untuk memperkenakan orang lain. Merasai cukup dengan rezeki yang ditentukan,cukup dengan kadar usaha yang dicurahkan.

Sepatutnya, beginilah rupa seorang yang digelar muslim. Sentiasa redha akan ketentuan daripada Allah SWT. Inilah peribadi muslim yang dianggap ‘ajaib’ seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SWT.

“Sunggah mengagumkan (ajaib) pada seseorang muslim, semua yang terjadi pada dirinya selalu mendapat kebaikan. Kalau mendapat sesuatu kesenangan, ia terus bersyukur. Maka itu sangat baik untuknya. Dan jika ditimpa musibah, ia terus bersabar. Dan ini pun baik untuknya.”

(HR Muslim, daripada Suhaib Al-Rumi)

Hindari Sifat mazmumah

Rupa-rupanya bersyukurnya kita adalah langkah bijak untuk lari daripada sifat mazmumah. Hati yang sentiasa redha dengan ketentuan tidak mudah mengutuk dan mencela qada’ dan qadar Allah SWT. Segala jenis sifat mazmumah seperti tamak haloba, pentingkan diri sendri, berdengki dan sebagainya akan secara automatik hilang terus daripada dari kita. Seperti kita sedia maklum , kes santau (menghantar ‘penyakit’ atau ‘penunggu’ kepada orang lain) merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan di merata pelusuk negara adalah akibat berdengki yang lahir daripada sifat kufur(tidak bersyukur ini). Maka tidakkah diperhatikan akan indahnya bersyukur ini. Merawat gundah gulana jiwa disamping menyingkirkan dosa dan noda.

Khatimah

Saya akui bersyukur ini kekadang sukar untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi seandainya mata ini sering sahaja melihat ‘kelebihan’ orang lain berbanding diri sendiri. Nampak sahaja cacat cela, kelemahan, kekurangan dan keburukan bertompok atas diri kita. Rawatan untuk penyakit ini adalah sentiasa bersyukur atas kurniaanNYA.

Saya teringat akan firman Allah SWT :

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat Allah), Maka sesungguhnya AzabKU amatlah pedih”

(Surah Ibrahim : ayat 7)

Kita bersyukur maka Allah akan tambah nikmat! Jika kufur tunggulah azabNYA!!! Nauzubillah!!!

Jadi apakah pilihan kita???

Hakikatnya, bersyukur itu juga merupakan nikmat.

Ayuh, kita bersyukur dengan apa yang ADA sebelum berubah menjadi TIADA!!!

6 comments:

diariperjalanan said...

Ya ALLAH, kurniakan kami nikmat syukur !

diariperjalanan said...

Ya Allah...kurniakan kami nikmat syukur yg bpanjangan !

Mutiara Wakafan said...

MasyaAllah/....
hakikatnya...
syukur itu indah....

Mutiara Wakafan said...
This comment has been removed by a blog administrator.
kalam-azimat said...

Kepada diariperjalanan

InsyaAllah, mudahan Allah akan kurniakan kita akan nikmat itu.

berdoalah...

seorang insan yg lemah

kalam-azimat said...

kepada mutiara wakafan

Betul, ana stuju dgn nta...
syukur itu indah, ttp brapa ramai yg bersyukur..

Moga Allah tgolongkan kita hamba yang bersyukur...

seorg insan yg lemah..