..:: Cebisan Kenangan ::..

Wednesday, April 6, 2011

..:: Hikmah Sakit ::..

Oleh : Mutiara Wakafan
Ujian itu meningkatkan IMAN bagi yang positif kepada Allah.

                Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk bertemu di dalam post yang seterusnya. Sebenarnya tanpa kita sedari, pelbagai nikmat telah kita perolehi sepanjang kita hidup di atas muka bumi ini. Nikmat kesihatan dan pelbagai lagi nikmat yang tak mampu untuk kita hitung. Nikmat hanya mampu dinilai oleh orang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut telah hilang.
                Apabila nikmat tersebut telah hilang, maka Tuhan akan dipersalahkan. Dan mungkin ianya juga dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada solah di awal waktu.
                Hari ini Allah telah mencabut sedikit nikmat kesihatan daripada saya. Ketika inilah, kita dinilai, adakah kita mampu untuk bersangka baik dengan Allah.

Dalam ujian terselit 1001 hikmah yang tidak kita ketahui.

Sakit Mampu ‘Mengusir’ Dosa Pada Diri

                Sebuah hadis riwayat Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“ Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujjian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya”
                Nah!
                Sudah jelas lagikan bersuluh. Ujian yang diberikan oleh Allah kepada kita mampu menghapuskan dosa sekiranya kita menerima ujian itu sebagai ujian untuk menilai diri kita.
                Saya teringat kisah, dimana terdapat tiga pemuda yang diuji oleh Allah dengan penyakit. Si Botak dengan penyakit botaknya, Si Buta dengan penyakit butanya, dan Si Kusta dengan penyakit kustanya.
                Apabila mereka disembuhkan oleh Allah dan dikurniakan binatang peliharaan masing-masing, kehidupan mereka telah berubah seluruhnya, jika dulu mereka miskin dan dipandang hina oleh masyarakat. Kini, mereka tidak lagi begitu, sebaliknya mereka di pandang tinggi oleh masyarakat.
                Namun, semuanya berakhir apabila Allah mengutuskan malaikat untuk menguji sejauh manakah hubungan mereka dengan Allah. Akhirnya, Si Botak dan Si Kusta dimurkai Allah kerana mereka melupakan Allah setelah diberi kenikmatan. Sebaliknya, Allah meredhai Si Buta kerana dia memandang nikmat dan ujian yang diperolehnya adalah untuk menguji dirinya.
                Bukankah peribadi sebegini yang kita impikan dalam segenap kehidupan kita?
                Sentiasa Husnuzon (bersangka baik) dengan Allah.
Apabila cubaan dan ujian menimpa orang yang kuat hubungannya dengan Allah , lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda cinta dan kasih daripada Allah.
                Ayuh kita memandang setiap ujian yang diberikan dari sudut yang positif!

Khatimah
                Janganlah kita bersedih hati pabila ditimpa ujian yang berat. Sebaliknya, marilah kita mengambil peluang ujian itu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Mungkin dengan ujian itu kita mampu memiliki kedudukan disisi Allah yang tak mampu di raih oleh amal ibadah yang lain.
                Semoga kita mampu menjadi hamba yang sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dan semoga kita berada di antara kedudukan disisi Allah.



                

No comments: