Pada hari Khamis 15/5/2008 ini, genap 60 tahun umat Islam belum dapat membebaskan bumi berkat Palestin dari penjajahan Yahudi. Ini sekaligus tanda yang jelas betapa umat Islam hari ini berada di dalam keadaan yang paling lemah dalam sejarah 1400 tahunnya yang panjang.
Pelarian Palestin 1948. Hari ini kanak-kanak tersebut berumur 70an di kem pelarian luar Palestin atau telah meninggal dunia tanpa sempat pulang ke kampung halaman mereka yang asal. Bagi kebanyakan mereka tiada harapan melainkan kepada Allah dan Gerakan HAMAS (Ikhwan Muslimin cawangan Palestin) untuk mereka pulang. Adapun kebanyakan pemimpin dan umat Islam lain di dunia, mereka sedang dibuai mimpi atau takut hilang kerusi.
Penjajah British yang mula menawan Palestin pada tahun 1917, setelah membuat penghijrahan Yahudi secara terancang masuk membanjiri Palestin, akhirnya menyerahkan bumi Islam ini kepada pendatang Yahudi pada tahun 1947 dan tertubuhlah negara haram “Israel”. PBB mengiktiraf “Israel” pada tahun 1948. Peristiwa pedih bersejarah ini dikenali sebagai “An-Nakbah” bermakna malapetaka, berlaku pada 15/5/1948. Selepas itu bagi memastikan bilangan pendatang Yahudi mengatasi bilangan pribumi Palestin, pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai dilakukan seperti tragedi Dier Yassin, Shabra Shatila dan banyak lagi. Hasilnya hari ini, 6 juta pelarian Palestin merempat di negara-negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Syria dan di merata dunia termasuk negara-negara Barat.
Sudah jatuh ditimpa tangga, setelah menguatkan kedudukannya 20 tahun di Palestin sejak 1948, pada tahun 1967 Israel menyerang dan menawan Bukit Golan milik Syria, Tebing Barat milik Jordan dan Gaza milik Mesir dan masih mencengkamnya sehingga ke hari ini. Berbagai sidang damai diadakan dari dulu hingga kini, namun isu Pelarian Palestin untuk kembali ke tanahair mereka, isu Golan, Tebing Barat dan Gaza sedikitpun tidak dihiraukan oleh Israel.
Selepas 30 tahun penubuhannya untuk membebaskan Palestin, PLO akhirnya telah berdamai dan mengiktiraf “Israel” dalam Perjanjian Oslo 1993 tanpa mendapat apa-apa pulangan selain elaun bulanan dari Amerika dan Eropah. Umat Palestin beralih kepada HAMAS yang masih utuh dengan prinsip membebaskan Palestin dan tidak mengiktiraf “Israel”. Dalam Pilihanraya Umum Palestin 25/1/2006, HAMAS menang lalu Israel, Amerika, Eropah, banyak Negara-negara Arab dan Islam mengikut arahan Barat mengadakan sekatan minyak, makanan, kewangan dan sebagainya terhadap 1.5 juta penduduk Gaza, Palestin hingga ke hari ini sebagai hukuman kerana memilih HAMAS untuk memimpin mereka dalam proses “Demokrasi” yang kononnya diperjuangkan oleh Barat.
Gaza, 6km x 25km, kem tahanan terbesar Abad 21. Bekalan bahanapi dan makanan tidak dibenarkan masuk melalui sempadan 2 negara jiran, Israel dan Mesir.
Dengan ini setelah 60 tahun merana dibawah kezaliman Yahudi, mereka juga perit disebabkan kebanyakan ketua negara-negara umat Islam tidak membantu kerana takut kepada Amerika dan Negara-negara Barat yang lain. Padah tali gantung yang diterima Saddam Hussein yang pernah cuba mencabar Israel dan Amerika dengan peluru berpandu Scudnya masih menghantui ramai pemimpin negara umat Islam.
Isteri dan 4 anaknya mati dibom ketika sedang bersarapan.
Moga umat Islam akan segera sedar dari lamunan mereka. Dihari umat terjaga dan bangkit, pastinya penderitaan umat Palestin selepas peristiwa An-Nakbah sehingga ke hari ini akan segera berakhir. Ameen.
No comments:
Post a Comment