..:: Cebisan Kenangan ::..

Wednesday, May 28, 2008

..::Relawan-relawan Selamat Berlepas ke China::..

Di kemaskini pada Ahad, 25/05/2008



25hb Mei 2008: HALUAN menyahut tanggungjawab kemanusiaan kepada mangsa-mangsa gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda wilayah Sichuan pada 12hb Mei baru lalu dengan mengaktifkan Misi Kemanusiaan China. Sehingga 24 Mei, pihak berkuasa China menganggarkan seramai lebih 60,000 rakyatnya terkorban dalam tragedi tersebut. 15 juta rumah dilaporkan musnah, di mana pihak berkuasa kini berusaha mendapatkan 900,000 buah kemah untuk membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal. Keadaan dikatakan akan bertambah buruk jika berlaku banjir atau tanah runtuh di kawasan terbabit. Tambahan pula wilayah berkaitan mempunyai industri-industri perlombongan, di mana ramai pekerja dikatakan terperangkap.

Relawan HALUAN, Dr Syed Muhamad Haleem al-Haddad bersama relawan-relawan dari beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain dari Negeri Selangor telah selamat berlepas dari KLIA awal pagi tadi. Adalah difahamkan relawan-relawan ini merupakan pasukan bantuan dari NGO Malaysia yang pertama ke China khusus untuk misi kemanusiaan gempa di Wilayah Sichuan. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan mereka semua dan semuga Allah swt memberkati dan memudahkan segala urusan mereka.

Turut hadir meraikan pemergian pasukan bantuan ini adalah Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraidah Kamaruddin. Manakala bagi pihak HALUAN, turut hadir adalah Ketua Biro Bantuan Kecemasan dan Misi Kemanusiaan, Hj Mohd Azhar Idris, Ketua HALUANITA, Prof Madya Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa, dan juga aktivis-aktivis HALUAN dan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH).

Dalam perkara berkaitan, Hj Mohd Azhar memaklumkan bahawa relawan-relawan HALUAN juga sedang bersiap-sedia untuk dihantar ke Myanmar. Pihak berkuasa Myanmar kini telah memberi laluan kepada relawan-relawan untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa Taufan Nargis. Justeru, semua relawan-relawan HALUAN diminta bersedia untuk menyertai kumpulan-kumpulan seterusnya dalam kedua-dua misi ke China dan Myanmar ini.






HALUAN mengajak masyarakat prihatin supaya terus bermurah hati, memberi bantuan kepada mangsa-mangsa bencana ini. InsyaAllah dengan sikap kita yang sentiasa senang dan tidak berlengah membantu mereka dalam kesusahan akan dapat meringankan beban mangsa-mangsa yang berhadapan dengan ujian Allah ini, sekaligus memberi keinsafan dan mendekatkan diri kita kepada Allah Yang Maha Pemberi, Yang Maha Memiliki dan Yang Maha Merencana setiap apa yang berlaku di sekeliling kita.

Sebarang sumbangan kewangan boleh disalurkan ke

Tabung Kemanusiaan HALUAN
Bank Islam Malaysia Berhad
Akaun No 14-023-01-002571- 8

Sila hubungi pejabat HALUAN tempatan untuk maklumat lanjut.

Anda juga boleh berhubung terus dengan

Pengarah Operasi Misi Kemanusiaan Myanmar dan China, Hj Mohd Azhar Idris di talian 012 601 2743 atau
En Fadzil di talian 013 484 1309.

http://www.haluan.org.my/

No comments: