KERIANGAN MENTAUHIDKAN ALLAH
Keseluruhan cara pergubatan di atas dipanggil cara pengubatan Rasulullah SAW terhadap penyakit-penyakit jiwa.
Penyakit mensyirikkan Allah SWT, disembuhkan dengan cara kembali mentauhidkan Allah SWT. Tauhid kepada Allah SWT akan membuka pintu kebaikan, kegembiraan, dan keriangan. Riang dan gembira orang-orang yang beriman ialah riang yang hakiki dan tidak berpura-pura. Keringan mereka lahir daripada tindakan mentauhidkan Allah SWT. Keriangan mereka adalah keriangan berterusan walaupun mereka diancam dan dikecam.
Inilah keriangan dan kegembiraan bagi orang-orang yang mentauhidkan Allah SWT. Mereka sentiasa bertindak di atas landasan syara'. Sekiranya mereka bertindak di atas landasan syara' tetapi tidak merasai kepuasan, kelazatan dan keriangan, bermakna tauhid itu belum mantap. Mungkin masih terdapat penyakit di jiwa mereka.
TAUBAT
Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah SWT, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Taubat ialah membuang dan mengosongkan diri daripada segala bentuk campuran yang buruk atau campuran yang boleh merosakkan jiwa. Taubat ialah menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai lain dan kembali kepada nilai-nilai Allah SWT sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang-orang bertaubat kepada Allah SWT maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat.
Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripada makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.
DOSA MELEMAH DAN MEMATIKAN JIWA
Thabit bin Qurrah berkata:
"Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik."
Abdullah bin Mubarak berkata:
"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa."
REALITI KINI
Beralih kepada realiti hari ini, manusia secara umumnya mendurhakai syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan.Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara' lalu dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit. jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.
Penyakit mencerca Allah SWT berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, Allah SWT menurunkan hujan. Kedapatan manusia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan `malam amal' atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah SWT mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-Istidraj. Allah SWT terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan.
Mencerca Allah SWT juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah SWT, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya.
Realiti ini lebih payah dan sukar bagi para doktor (para penda'wah) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah dan kemalangan yang besar kepada umat keseluruhannya.
MENGUBATI DENGAN RAHMAT
Menurut Ibn al-Qayyim:
"Tiada harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu kecuali hanya rahmat Allah SWT ke atas mereka sahaja."
Oleh itu, dalam setiap usaha, pendakwah-pendakwah mestilah berhubung dan bergantung dengan Allah SWT.
Abdullah bin 'Abbas berkata:
"Do'a kita harus mengandungi Tauhid (Uluhiyyah dan Rububiyyah) dan mestilah kembali menyifatkan Allah SWT sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah."
Maksudnya, do'a pendakwah-pendakwah bukan sahaja dengan lafaz secara lisan bahkan praktik dan amalan mereka mesti mencerminkan kefahaman dan keyakinan akan sifat-sifat Allah SWT. Dengan cara ini barulah pendakwah-pendakwah boleh mengharapkan do'a itu dimakbulkan Allah SWT
No comments:
Post a Comment