Sya’ban kini beransur pergi, menandakan Ramadhan menjelma lagi. Orang Islam begitu tidak sabar untuk menempuh bulan yang sangat dinantikan oleh orang yang dahagakan ganjaran daripada Sang Pencipta. Hal ini kerana, terdapat begitu banyak ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bertungkus lumus untuk mendapatkannya.
Ganjaran yang sangat diharapkan oleh seorang mukmin ialah ganjaran Taqwa. Hal ini kerana, Taqwa merupakan ganjaran yang paling sukar untuk manusia meraihnya. Jika kita lihat kembali, Allah mewajibkan manusia untuk berpuasa di dalam bulan ramadhan adalah semata-mata untuk meraih ganjaran Taqwa. Firman Allah ;
“ Wahai orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)
Apakah itu Taqwa..~!?? Kenapa kita harus mendapatkan Taqwa~!?? Kenapa perlu sampai ada yang berlumba-lumba untuk mendapatkan gelaran Taqwa~!??. Ayuh kita teliti kisah Umar Al-Khattab dengan Ubaid bin Ka’ab.
Suatu ketika, Umar bertanya kepada Ubaid
“tahukah kamu apakah itu Taqwa~!??”
Ubaid menjawab “Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri~!??”
“Pernah”, “ Apa yang kamu lakukan~!??” Ubaid menyoal kembali.
“ Aku berjalan sambil menyingkap jubahku dan jalan dengan penuh hati-hati.” Umar menjawab dengan penuh keyakinan.
“ Itulah Taqwa” Ubaid bin Ka’ab menamatkan perbualan tersebut.
Jelas, taqwa amat penting sebagai bekalan untuk kita menempuhi sebelas bulan yang lain. Ramadhan umpama stesen perhentian untuk mengecas bekal iman dan taqwa, seterusnya mengharungi bulan berikutnya dengan bekalan tersebut. Jika kita perhatikan pada perbualan antara dua orang sahabat tadi, taqwa membawa erti menjaga diri mengharungi pancaroba kehidupan yang dipenuhi dengan lubang-lubang dosa. Hanyalah semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah (mardhotillah). Melihat kepada pentingnya institusi pendidikan Ramadhan. Patutkah kita memandang sepi sahaja pada bulan ini. Sedangkan pintu kerahmatan dan keampunan Allah terbuka luas kepada hambanya.
Ayuh kita menggunakan peluang yang telah dikurniakan untuk kita mencari sebanyak mungkin ganjaran sekaligus meraih gelaran Taqwa. Mari kita menggunakan peluang yang telah terbentang luas ini untuk kita ‘menatang’ ramadhan dengan taqwa. Mengapa saya menggunakan perkataan ‘menatang’..~!?? Hal ini bertujuan untuk menggambarkan betapa Ramadhan ini merupakan satu bulan yang terlalu istimewa sehingga tidak dapat ditandingi oleh bulan-bulan yang lain.
No comments:
Post a Comment