..:: Cebisan Kenangan ::..

Friday, July 25, 2008

..::Catatan Perjalanan::..


• Sejarah kehidupan manusia adalah sejarah keimanan dan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Di dalam lembaran sejarah silam manusia kita telah melihat bagaimana Allah SWT telah memuliakan satu kaum dan menghina satu kaum yang lain kerana keimanan dan kekufuran mereka kepadaNYa.(WgMu:24Jul05)

• Khazanah-khazanah untuk kita bina kehidupan yang cemerlang dimasa depan berada di tangan kita hari ini; iaitu segala peluang dan kesempatan yang terbentang di depan kita. Sekiranya kita mengabaikannya hari ini maka kita tidak ada apa-apa lagi untuk hari esok.(WgMu:24Jul05)

• Sekiranya kita mengabaikan peluang dan kesempatan yang ada di depan kita hari ini maka kita akan menjadi manusia yang bankrap di hari esok. Yang lebih malang lagi ialah kita tidak punya apa-apa untuk hari pertemuan kita dengan Allah SWT; 'apa-apa' yang dapat menyelamatkan kita dari ancaman dan azab Allah SWT. Inilah kerugian yang sebenar-benarnya. (WgMu:24Jul05)

• Perubahan adalah sebahagian dari sunnah kehidupan, persoalannya perubahan yang bagaimanakah yang kita hajati supaya berlaku ke atas diri kita. Sekiranya kita tidak berhajat kepada perubahan, persoalan yang perlu kita jawab; adakah kita masih 'hidup'? (WgMu:24Jul05)

• Masa itu juga merupakan suatu proses, jika kita tidak memperkemaskan diri kita atau meningkat diri serta keimanan kita maka masa yang terabai itu akan mengikis keperibadian kita sedikit demi sedikit hingga tiba suatu masa kita akan tersedar lalu mendapati kita tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan. (WgMu:24Jul05)

• Mereka (para sahabat awwalun RA) adalah segolongan manusia belaka. Mereka tidak mampu membersihkan diri mereka dari perasaan-perasaan manusia dan kelemahan-kelemahannya. Mereka tidak dituntut menjangkau batas-batas jenis mereka sebagai manusia dan tidak pula disuruh keluar dari lingkungan jenis manusia sehingga hilang segala sifat-sifat dan ciri mereka sebagai manusia. Oleh kerana itulah Allah jadikan mereka sedemikian rupa supaya mereka tetap dengan sifat-sifat manusia dan tidak berubah kepada jenis makhluk yang lain; tidak berubah kepada malaikat-malaikat tidak pula kepada syaitan-syaitan dan tidak pula kepada binatang dan batu batan. Sebagai manusia mereka tetap mengalami rasa takut dan cemas apabila dilanda kesusahan. Hati mereka akan bergoncang apabila menghadapi suasana bahaya yang melewati keupayaan mereka. Namun demikian, hati mereka tetap tertambat pada tali yang kukuh yang menghubungkan mereka dengan Allah. Tali inilah yang menghalangkan mereka dari gugur dan tali inilah yang membaharui harapan mereka dan mengawal mereka dari rasa putus asa. Dengan sifat-sifat inilah mereka menjadi contoh yang unik dan tiada tolak bandingnya di dalam sejarah manusia.(Syed Qutb)
• Manusia yang jelas matlamat hidupnya akan menyusun dan mengurus kehidupanya sesuai dengan matlamat hidupnya. Makin jelas matlamatnya makin jelas pula jalan-jalan dan halangan yang bakal dihadapinya dan makin sibuk dia menyediakan diri dan bekalan untuk menempuhnya. (WgMu28Apr06)

• Kejelasan matlamat menyebabkan seseorang lebih serius dan sentiasa merancang dan mengurus kehidupannya. Setiap detik waktu yang dilaluinya adalah terlalu berharga untuk disia-siakan. Setiap kesalahan yang dilakukan dicatat dan sentiasa diingati sebagai pengajaran dan segala kegagalan yang ditempuhinya adalah suatu pengajaran yang tiada nilainya.(WgMu28Apr06)

• Seseorang yang memiliki kejelasan matlamat tidak akan menunda-nunda kerjanya kerana baginya masa yang berlalu tidak mungkin dapat diulangi lagi, hari esok adalah hari yang baru dengan tugas dan tanggungjawab baru.(WgMu28Apr06)

• Kejayaan sebenar bermula didalam diri kita; iaitu mengenali potensi diri seterusnya melakukan perubahan kepada kedudukan yang lebih baik.(WgMu28Apr06)

• Sering datang terlambat, marah hingga meledak-ledak, belanja gila-gilaan sampai kering poket bahkan melebihi had kemampuan merupakan contoh perbuatan orang yang tidak dapat memimpin dirinya.(WgMu28Apr06)

• Kejayaan pertama yang perlu dicapai sebelum tercapainya kejayaan-kejayaan yang lain ialah berjayanya mengenali diri dan berusaha meletakkan diri kita pada tahap yang dikehendaki oleh Allah SWT.(KoM3 5Mei06)

• Tarbiyyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat tercapai dengan tarbiyyah.(Syeikh Mustafa Masyhur)

• Perumpamaan tabiat kecenderungan manusia kepada dunia seperti air yang terus mengalir mencari daerah yang lebih rendah. Untuk mengangkatnya ke atas diperlukan energi atau tenaga. Oleh itu, syari'at menguatkannya dengan khabar gembira dan ancaman yang dapat mempertajamkan akal.(Ibnu Jauzi; Shaidul Khathir)

• Sesiapa yang melihat akhir suatu perkara di awal langkahnya, dengan mata hatinya, kelak akan beroleh hasil yang sangat baik dari perbuatannya dan akan selamat dari akibat buruknya. Barangsiapa yang tidak waspada dan hanya menuruti perasaannya, ia akan menderita akibat perbuatannya dan tak akan mencapai kebahagian. Ia tak akan pernah tenteram dalam menjalani hidupnya.(Ibnu Jauzi; Shaidul Khathir)
• Proses tarbiah sebenarnya ialah proses membentuk watak-watak atau membangunkan suatu keperibadian sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT.Keperibadian sebagaimana Ummah pertama yang lahir dari proses dididikan di Madrasah Nabawiyyah. (13 Mei 06;Bkt Ayer)
• Kelemahan dan kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini bukan kerana kuantiti ummah Islamiyah yang sedikit tetapi kerana hilangnya keperibadian atau syakhsiyah Islamiyah (15Mei;Bkt keteri)
• Generasi Pertama (generasi sahabat) telah berjaya menundukkan 2/3 dari muka bumi setelah mereka berjaya menundukkan apa yang ada dalam jiwa (iaitu nafsu) mereka kepada apa yang dikehendaki oleh Allan SWT. (S.Bahi K)
• Faktor kelemahan umat Islam hari ini antaranya kerana kita tidak lagi memiliki kebanggaan masa lalu yang sengaja dipadamkan oleh musuh-musuh Islam untuk menghakis sedikit demi sedikit keperibadian kita. Bahkan dalam persoalan Aqidah yang menjadi tunjang kehidupanpun difahami dalam bentuk yang terlalu falsafah serta tidak dihubungkan dengan umat pertama yang merupakan contoh-contoh keimanan yang mendapat peng'iktirafan Allah SWT.(M3 15 Mei)
• Manusia memerlukan tekanan untuk membangunkan dirinya. Aku melihat pemuda-pemuda yang lahir dan membesar dalam kesenangan dan kemewahan terkurung mindanya dengan persekitaran yang biasa menyelubunginya. Fikirannya tidak boleh menjangkau lebih jauh dari dunianya yang sedia ada, menjadikan dia dengan dunianya sahaja. Mereka terbelenggu dalam dunia mereka sendiri sedang dunia sebenar terhampar luas.(M3 18Mei06)
• Aqal fikiran manusia umpama tanah, semakin dalam kita menggalinya makin banyak khazanah alam yang berhargayang akan kita perolehi.
• Ikan disungai lebih sedap isinya berbanding ikan dikolam kerana hari-hari dia menentang arus. Begitu juga manusia yang hari-hari berdepan dengan berbagai halangan dan kesukaran hidup maka buah fikirannya akan semakin bernas dan berisi.
• Cabaran hidup umpama dapur pembakar yang mematangkan aqal dan fikiran kita. Tanpa cabaran kita tidak akan meningkat dewasa walaupun umur kita bertambah.(M3 18Mei06).
• Tidak ada manusia yang ingin gagal dalam kehidupan tetapi kegagalan itulah yang mengajarnya erti kejayaan sebenar. (M3 18Mei06).
• Hanya manusia buta yang mengetahui nikmat melihat. Hanya manusia yang gagal mengetahui erti sebuah kejayaan. (M3 18Mei06).
• Berada dibumi Allah tanpa taufiq dan hidayah Nya seperti manusia buta tanpa tongkat; tidak tahu arah tujuan. Akhirnya jiwa menjadi gelisah dan keluh kesah serta menerima kehidupan sebagai satu bebanan yang membosankan (KB 4 Jun06)
• Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan seperti sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.
• Manusia sering merasa sedih dengan nikmat yang telah hilang sedang nikmat Allah yang masih banyak di tangan kita sering saja kita abaikan. Kita menangisi masa silam yang suram sedang hari ini yang sedang kita lalui tidak kita hiasi dengan amal yang bermanfaat untuk hari esok. (M3 8Jun06).
• Sentiasalah kita memaafkan orang lain dan melihat mereka dengan sangkaan yang baik nescaya kita akan merasai nikmat kehidupan.
• Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Bersabarlah kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan dari keimanan yang benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang baik segala keputusan Allah disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.( Jitra Disember05)
• Kegagalan adalah sesuatu yang memeritkan namun disebaliknya adalah pengajaran mengenai erti kehidupan bagi sesiapa yang ingin mengambil iktibar. Oleh itu berjuanglah menempuh kemelut dan cabaran hidup serta bersabarlah jika kita gagal agar kita memperolehi kebaikan dari kedua-dua sudut dari kehidupan ini dan kejayaan sebenar hanyalah pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT.(AbuUmar;M3 3Ogs06)
• Kekuatan sebenar seorang Mukmin ialah apabila ia bersandar sepenuhnya dan segalanya kepada Allah SWT; menjadikan dia sebagai manusia yang tidak kenal erti putus asa dan kecewa, tidak takutkan cabaran dan kegagalan. Disebalik ini semua ialah ketenangan dan kebahagian, kepasrahan dan lapang dada, kepuasan dan kemanisan Iman yang sebenar. (AbuUmar;M3 3Ogs06)
• Usaha atau gerakan dalam rangka memenangkan Deen Allah SWT, bukanlah termasuk persoalan amal sunnah, dimana kaum Muslimin boleh memilih antara melakukannya atau tidak, tetapi merupakan persoalan wajib. "Barangsiapa meninggal sedangkan ia belum berperang dijalan Allah serta belum pernah meniatkannya dalam dirinya; maka ia mati dengan mati munafiq"(Shahih Muslim). (Tarb. Qiadiyah:JasimMuhalhil)
• Yang berlalu biarlan berlalu, cita-cita adalah harapan yang tak pasti, dan bagimu hanyalah hari yang sedang dilalui. (Dr 'aid)
• Janganlah berputus asa kerana tidak nampak jalan keluar, kalau begitu, dimanakah Allah dan taqdir-Nya.
• Tiada suatu kegembiraan pun yang kekal bagimu dan tiada suatu kesedihan pun yang dapat mengembalikan kepada Mu sesuatu yang telah hilang.
• Kehilangan masa lalu menjadikan seseorang atau masyarakat seperti tumbuhan air yang tidak memiliki akar yang teguh. Juga seperti tumbuhan yang tidak membuahkan hasil. Umat yang kehilangan kejayaan, pasti kehilangan identiti. Pada saat begini, umat ini akan hidup dengan konsep-konsep 'instant' yang menjadikan mereka sekadar meneruskan kehidupan yang tidak bererti. Hidup hanya untuk makan dan minum tanpa kesedaran dan tujuan.
• Barangsiapa yang mencari Allah bukan melalui jalan berharap(roja') dan takut(khauf), bukan dengan rindu dan cinta (kepada Nya), niscaya dia akan kebingungan dalam mencari Nya, kacau dalam amalnya, tidak akan menemukan nikmat-nikmatnya ibadah, dan tidak dapat menempuh jalan kezuhudan. Oleh kerana itu, bertaqwalah kepada Allah yang hanya kepada Nya anda kembali.
• Perhatikanlah, jangan sampai anda termasuk orang-orang yang dikenal oleh para jiran dan sanak saudara anda sebagai ahli kebaikan, seorang sufi, ahli zuhud, lagi ahli ibadah, padahal keadaannya di sisi Allah sebaliknya, kerana sesungguhnya Allah memberi anda balasan hanya menurut apa yang Dia ketahui dari anda, bukan menurut apa yang Dia ketahui dari anda, bukan menurut apa yang dikenal oleh manusia.
• Janganlah anda termasuk orang yang suka dengan kebaikan yang terlihat orang, yang sebenarnya hanya untuk mahkluk, padahal tidak ada pahala baginya, bahkan mendapat seksa. Janganlah pula anda termasuk orang yang meninggalkan kebaikan yang tidak terlihat orang, yang sebenarnya hanya Allah, padahal (jika ia melakukannya) akan mendapat pahala dan Allah tidak akan menyiksanya.
• Janganlah anda jadikan zuhud anda sebagai pekerjaan untuk mencari dunia, tetapi jadikanlah pekerjaan anda sebagai ibadah anda untuk mencapai pahala Akrhirat. Apabila dunia berterima kasih kepada anda dan memuji-muji anda, maka anggaplah urusan mereka itu sebagai dongengan.
• Anda melihat bahawa pada umumnya, manusia bergantung pada sarana, sedang orang yang arif bergantung pada yang menguasai sarana. Pembicaraannya tiada lain mengenai kebesaran Allah, kekuasaan Nya, kemuliaan Nya dan rahmatNya. Semua waktunya ia habiskan untuk itu hingga ia membawanya masuk ke dalam kuburnya.
• Kejadian yang menimpa seseorang di masa depan, jelas menggambarkan proses masa lalunya
• Barangsiapa yang berfikir secara mendalam dan adil mengenai kehidupan dunia, ia akan sentiasa waspada. Barangsiapa yang yakin akan betapa panjangnya perjalanan yang akan ditempuhinya, maka ia akan menyiapkan bekal sebaik-baiknya. Alangkah anehnya manusia yang yakin akan sesuatu, namun melupainya dan betapa anehnya mereka yang mengetahui bahaya sesuatu, namun ia masih menutup matanya.
• Ujian terberat bagi seseorang adalah jika ia tidak sedar bahawa dirinya sedang berdepan dengan ujian;seperti orang alim yang kagum dengan ilmunya.
• Barangsiapa yang ingin jiwanya bersih, maka bersihkanlah amal-amalnya.
• Barangsiapa yang membersihkan jiwanya, maka ia pasti dibersihkan, barangsiapa yang mengotori jiwanya, maka ia akan dicemari.

No comments: