Hari-hari yang dilalui manusia hakikatnya penuh dengan ujian dan cabaran. Ramai yang mengeluh dan merasa lemah apabila berhadapan dengan ujian. Tetapi inilah sebenarnya fitrah kehidupan. Wujudnya ujian adalah petanda bahawa hidup masih berjalan. Sekiranya kita merasakan diri ini tidak didatangi ujian, maka kita perlulah bermuhasabah akan diri kita dan tentunya kita mempunyai masalah.
Hari ini saya juga diuji dengan ujian yang agak berat. Namun ujian ini tiada datangny dari luar, tetapi dari dalam jiwa saya sendiri. Kadang-kadang kita ni merasakan bahawa diri kita telah terjaga dari rawasib(karat) jahiliyyah tetapi sebenarnya perkara itu masih terlekat jauh di dalam lubuk jiwa kita.
Di sekolah saya, ada segelintir pelajar yang sering membuat kacau, melanggar peraturan sekolah, tidak menghormati guru dan kadang kala mengancam keselamatan serta ketenteraman pelajar lain. Saya pada awalnya cuba bersabar dan tidak ambil pusing dengan perkara ini. Namun keadaan pelajar-pelajar ini semakin tidak terkawal dan terus merunsingkan pihak sekolah dan pengawas.
Justeru saya mengambil tindakan memberikan teguran kepada mereka. Masalahnya bermula dari sini. Pada awalnya saya mengeur mereka dengan cara yang lembut dan berhikmah. Namun mereka nampaknya tidak makan saman malahan bertindak dengan lebih agresif. Akhirnya selepas beberapa kali saya mencuba dengan cara yang lembut, saya mula berkasar dengan mereka.
Anak mata saya yang sentiasa bersinar dipakukan apabila melihat wajah mereka. Wajah saya yang sentiasa tersenyum dimasamkan apabila bertemu dengan mereka. Tawa riang saya bertukar menjadi keruh benci apabila berselisih dengan mereka.
Ini adalah satu kesilapan.
Akhirnya tujuan awal yang disematkan ke dalam hati untuk mencegah mungkar menjadi benih kepada kebencian di dalam jiwa. Ini bukanlah sikap seorang da'ie. Saya pada hakikatnya telah membina hijab di antara saya dengan mereka.
Sebagai seorang yang sentiasa didedahkan dengan dakwah, saya menyedari betapa besarnya dosa saya sekiranya saya membuatkan seseorang itu jauh daripada ALLAH. Maka saya mula rasa berdosa. Memang mereka melakukan pelbagai kesalahan, tetapi itu bukan alasan saya untuk menjauhkan mereka dari rahmat ALLAH. Sedangkan ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Saya tergerak untuk meminta maaf. Saat inilah pergolakan berlaku. Keegoan menerjah. Tetapi saya berusaha meyakinkan bahawa tindakan saya ini(memohon maaf) bukanlah untuk mengakui bahawa tindakan mereka itu betul, tetapi sekadar untuk membersihkan hubungan saya dengan ALLAH.
Kini jiwa masih bergolak. Namun saya juga sedang berusaha.
Saya yakin tindakan saya memohon maaf adalah tepat. Tetapi keegoan yang membara menghalang langkah saya. Saya tidak pernah kisah bermasalah dengan manusia atau seluruh dunia membenci saya. Tetapi saya tidak suka bermasalah dengan ALLAH dan dibenci olehNya. Kalian doakanlah saya. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat.
No comments:
Post a Comment