..:: Cebisan Kenangan ::..

Sunday, April 10, 2011

Istimewa : Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( First Edition)


Oleh :kalam-azimat

Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama'- picture of sardonyx_wolfess

Acap kali juga ada beberapa kenalan dan teman memohon bantuan kepada saya untuk menulis teks syarahan agama untuk pertandingan. Saya akui dahulu saya pernah menyertai pertandingan ketika menduduki sekolah menengah dahulu. Saya juga Allah izinkan untuk bertemu dan bersua muka dengan insan yang pada hemat saya amat mahir dalam bidang ini. Mereka terdiri daripada guru dan juga senior saya. Maka pada kali ini, khas buat anda semua ingin saya kongsikan berkaitan ini. Penulisan teks syarahan ini seringkali dianggap sukar bagi sesetengah pihak. Bagi saya ianya tidaklah sesukar mana asalkan minat dipupuk dan ada sikap ingin mencuba.

Saya hanya sediakan jalan dan panduan untuk yang berkenaan. Harapnnya dapat dimanfaatkan oleh anda sekalian. Moga Allah redha akan kerja kita. Disini saya sertakan beberapa langkah yang telah saya pelajari dan berdasarkan pengalaman 3 tahun menyertai pertandingan syarahan ini. Saya kira, ilmu saya ini amatlah cetek jika ingin dibandingkan dengan yang lain. Meskipun begitu, saya ingin kongsikan kepada kalian ilmu ini. Moga yang masih belum mencuba boleh menjinakkan diri dan yang telah sertai dapat mempertingkatkan kualiti diri. InsyaAllah

Panduan Penulisan Teks Syarahan:

1.Memilih tajuk yang sesuai dengan kemampuan

Pembaca yang dihormati, aspek ini amatlah penting kerana akan mempengaruhi isi yang akan disampaikan. Selalunya tajuk yang dibekalkan mudah untuk dibawa tetapi hendaklah difikirkan juga. Saya cadangkan yang masih baru dalam bidang ini, pilihlah tajuk yang umum dan isinya boleh masuk dengan mana-mana tajuk ynag kita jumpa. Contoh tajuk yang umum berkaitan dengan taqwa, akhlak, ukhwah, perpaduan, dan sebagainya. Perkara ini penting bagi memahirkan diri dengan tajuk yang lain pada masa akan datang.

3. Memberikan definisi tajuk.

Definisi tajuk amat penting kerana akan memberikan gambaran keseluruhan syarahan yang ingin disyarahkan. Biasanya definisi ini menerangkan maksud setiap patah perkataan tajuk yang telah diberikan. Rujuklah kamus mahupun apa jua medium yang ada untuk memperjelaskan setiap patah perkataan yang diberikan. Setelah selesai bahagian itu, membuat kesimpulan secara total bahagian itu. Dan anda akan bergerak ke bahagian yang seterusnya.

Contoh tajuk : Ukhwah Mantap, Ummat Tegak

Definisi tajuk :

Ukhwah asal perkataan arab diterjemahkan membawa maksud persaudaraan,

Mantap pula sinonim dengan hebat, unggul dan cemerlang,
Ummat merujuk kepada suatu kelompok masyarakat yang besar,
Tegak menjunjung erti kukuh dan stabil….
Secara totalnya, tajuk ini membicarakan tentang persaudaraan yang unggul akan membina sebuah masyarakat yang kukuh lagi utuh.

4. Memilih dalil yang tepat.

Sebelum membuat isi, pastikan dalil telah dipilih terlebih dahulu. Pemilihan dalil ini dipetik melalui al-quran dan juga hadis. Saya akui amatlah jenuh dan penat jika mahu membelek helaian demi helain al-quran semata-mata ingin mencari dalil yang berkaitan. Ataupun membuka kitab hadis untuk itu. Jika dapat lakukannya amatlah bagus, tetapi amatlah penat. Jadi apa yang disarankan mencari buku agama ataupun majalah islamik yang menyentuh akan hal yang berkaitan dengan tajuk. Pasti akan memudahkan pencarian anda. Lakukanlah dan kutip sebanyak mungkin dalil-dalil yakni al-Quran dan hadis yang telah dijumpai, maka setelah itu anda akan terbayang apa yang anda tulis kelak!.

5.Memilih isi yang sesuai dan bermakna

Isi pula dipilh berdasarkan tajuk yang telah diambil serta dalil yang dikemukakan. Pastikan ianya berkaitan dan ada sangkut paut. Apa yang saya sering lakukan apabila merangka isi@elemen adalah menulis kata kunci terlebih dahulu. Cuba bandingkan kata kunci itu dengan tajuk, dan dalil yang dikemukakan. Jika ianya bertepatan maka tibalah giliran untuk ‘menggoreng’ isi.

Contoh kata kunci dan dalil yang bersesuaian :

Kata kunci : Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah

Dalil yang bersesuaian :

Sabda Rasulullah :

‘Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirnya sendiri.”
(Riwayat Malik)

Nampak? Keserasian dan persamaan dan dari segi kata kunci dan tajuk yang telah dipilih.

Jika sudah sampai tahap ini, bagi saya kita sudah mampu ‘nampak’ apa yang ingin ditulis. Usah risau dan bimbang andainya ayat tunggang-langgang atau memeningkan. Buat dahulu dan anda akan dapat hasilnya. Walau bagaimanapun, teguran daripada yang lebih berpengalaman amatlah penting. Jangan pandang enteng, dan sentiasa memperbaiki kesalahan yang dilakukan.

Saya secara peribadi, masih banyak kekurangan dan kelemahan. Seandainya ada mentor atau insan yang berpengalaman dalam hal ini nampak kekurangan dan kecacatan dalam tulisan saya ini. Sila maklumkan.

Insya Allah kita boleh saling berkongsi maklumat dan informasi….

Akan bersambung pada edisi akan datang….

Ucapan jazakallahhu kahiran kathira kepada ‘sifu-sifu’ saya dalam bidang ini :

1.Hilal Asyraf bin Abd Razak.

2.Muhammad Rafhan Ridha bin Mohd Diah

3.Nu’man Afifi bin Sa’dan

4.Allahyarhamah Ummi Halimaton bin Husin

(guru bahasa Melayu saya ketika tingkatan tiga)

..:: Syarahan : Wehdah Pemangkin Khaira Ummah ::..

Bersama menyemai mahabbah fillah.


 Auzubillahi…..

Bismillahirahminirrahim….

Sekalung penghormatan buat saudara pengerusi majlis, saf kehakiman yang arif lagi bijaksana, guru-guru pendidik anak bangsa, seterusnya sidang hadirin warga dewan sekalian….

‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’

Jesteru, Tampilnya saya di podium gagah ini bagi melakarkan wacana :
Wehdah Pemangkin Khaira Ummah

Sebelum kaki deras meniti setiap elemen-elemen yang ingin saya utarakan. Molek kiranya definisi wacana saya huraikan…

Wehdah berbahasa arab membawa erti kesatuan
Pemangkin boleh ditakrifkan sebagai menjana atau melahirkan
Khaira ummah pula terangkum dalam makna tersurat, masyarakat gemilang’

Secara totalnya, wehdah pemangkin khaira ummah menjunjung erti : kesatuan mapan menjana masyarakat gemilang.

Hadirin warga dewan yang dimuliakan;

Kesatuan memupuk perpaduan mapan

Perpaduan merujuk kepada interaksi dan komunikasi yang baik dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Nilai perpaduan ini hanya dapat diwujudkan apabila kesatuan timbul dalam jiwa dan minda setiap anggota masyarakat. Hakikatnya, perpaduan amat penting dalam kehidupan. Ia diperlukan untuk menumbangkan kepimpinan yang zalim seperti yang diterjemahkan di Mesir. Tahukah kalian, perpaduan yang kukuh ini diperolehi melalui ikatan ukhwah dan kesatuan yang erat. Persaudaraan sesama muslim ibarat sekujur tubuh, jika kulit merasa sakit, mata mengalirkan air, mulut mengaduh sakit, dan seluruh anggota memberi sokongan. Nah, inilah natijah yang melahirkan perpaduan yang diidamkan setiap insan.

Hal in bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Seorang mukmin adalah cerminan bagi mukmin yang lain”
(HR At-Thabrani dari Anas R.Anhu)

Hadis ini memperlihatkan bahwa kesatuan akan menyebabkan karakter mukmin seolah-olah sama dan menjadi cermin kepada temannya yang lain. Justeru, benarlah perpaduan dapat dijana andai kesatuan terlaksana.


Kesatuan Pemangkin Intelektual Insan

Pernahkah kalian tahu pernah wujud suatu generasi yang telah merubah corak peradaban dunia. Dengan menggunakan intelektual yang mereka miliki telah menyinari alam buana ini daripada kerosakan kepada sejahtera. Merekalah sahabat seperjuangan rasul yang memberi impak kepada dunia. Membangunkan yang tidur, mencelikkan yang buta. Lihatlah, tertubuhnya institusi pendidikan Baghdad yang menjadi pusat rujukan ilmuan dunia ketika era pemetintahan Abbasiyah. Ketahuilah bahawa, kunci mereka berjaya melakarkan kejayaan adalah kerana kesatuan yang utuh dan kukuh dalam kalangan mereka menjadikan intelektual nadi kehidupan.

Sabda junjungan mulia, 
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim”

Justeru, ukhwah dijaga intelek terjana.

Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah

Mahabbah atau kasih sayang amat diperlukan oleh manusia. Cinta dan manusia tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Mana mungkin dapat hidup bahagia jika kasih sayang dan cinta tidak dipupuk. Kesatuan dan perpaduan yang diimpikan tanpa cinta kasih sayang hanyalah angan-angan kosong.

Sabda Rasulullah : 
‘Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirnya sendiri.”
(Riwayat malik)

Lihatlah, keimanan yang tulen dapat dibuktikan andainya kecintaan dipupuk di dalam jiwa. Aspek emosi ini seharusnya dipandang serius bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni. Al Hasil, persaudaraan membuahkan kecintaan sesama manusia.

Kesatuan menjana ekonomi nan stabil

Perhatikan bursa saham ekonomi Negara saban tahun, kejap naik, kejap menurun dengan mendadak. Mengapakah fenomena ini seringkali terjadi? Tiada kesatuan dan kefahaman sememangnya menjadi punca krisis ini berlaku. Sikap berdendam, mengambil kesempatan, dan tamak mengakibatkan ramai peniaga yang baru sahaja menceburi bidang ini terpaksa gulung tikar.

“…..Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Sesungguhnya amat berat siksaanNya”
(Al-Maidah :2)

Hakikatnya, bantu-membantu dalam kebaikan dapat mendokong ekonomi Negara bergerak maju setapak dihadapan. Sikap ini haruslah dijunjung mulia kerana mencontohi akhlak nabi yang suka berniaga. Impaknya, masalah krisis ekonnomi pasti dapat diatasi.

Kesatuan Memartabatkan Negara Berdaulat

Jika disoroti kembali lembaran sejarah dahulu kala. Ketika Islam mula berkembang. Perhatikan bagaimana negara Madinah yang baru sahaja dibina mampu membuka mata dunia dengan memacu kegemilangan. Gandingan bahu mambahu antara rakyat dengan pemerintah di atas landasan akidah yang benar membentuk sebuah Negara yang berdaulat. Inilah natijah, ukhwah dan wehdah yang ditanamkan di dada setiap individu rakyatnya yang mementingkan persaudaraan, memerangi kesukuan lantas membentuk daulah islamiyah yang tersergam indah. Apakah formula rahsia kejayaan ini?

Maka sebenarnya mereka amat menitkberatkan firman Allah yang berbunyi :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Benar, mengikat tali persahabatan dengan teman seperjuangan serta mengelakkan daripada pertelingkahan mampu memupuk kesatuan sekali gus memartabatkan daulah islamiyya ke seantero dunia. Lantas, semangat kekitaan yang padu menjamin kestabilan dan keharmonian Negara.

Akhir kalam, dengan mengambil kelima-lima hujah saya sebentar tadi. Maka dapatlah deduksikan bahawa kesatuan yang utuh dapat menjana peribadi ummah yang gemilang.
Kita juga memahami bahawa :

1.Kesatuan memupuk perpaduan mapan
2.Kesatuan Pemangkin Intelektual Insan
3.Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah
4.Kesatuan menjana ekonomi Nan stabil
5.Kesatuan Memartabatkan Negara Berdaulat


Konklusinya, wehdah atau kesatuan merupakan antara prasyarat yang amat penting bagi membentuk khaira ummah. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.

Sekian, wabillahitaufiq…..
Perwakilan Putera/Puteri At-toyyibah mengundur diri……

~ nukilan - Kalam-Azimat ~

Saturday, April 9, 2011

..:: Fardhu itu tidak terhad ::..

Oleh : Mutiara Wakafan               
dunia kian maju kehadapan, namun peribadi insan kian mundur ke belakang ~ picture foureyes of deviant art

                Menongkah arus globalisasi kini, dunia semakin maju kehadapan dengan kelengkapan yang kian canggih. Dengan kelengkapan yang ada memudahkan manusia untuk menyebarkan pelbagai info kepada seluruh manusia.
                Jika maklumat yang disebarkan itu tidak tepat atau salah, maka akan menyebabkan semua manusia itu mudah terpesong bagi yang tidak mengetahui.
                Inilah antara perancangan yahudi yang semakin rancak dilaksanakan tanpa umat islam menyedari akan hakikat ini.
                Apakah kita yang selalu menggunakan kemudahan ini menyedari akan hakikat ini?
Fardhu bukan sekadar solah, sebaliknya ia mempunyai maksud yang cukup luas ~ picture by turunhujan of deviant art

Fardhu itu bukan sekadar rukun

                Umat islam kini disempit pemikirannya. Hal ini kerana, kita hanya nampak fardhu itu hanya melaksanakan solah lima waktu, zakat, puasa di bulan ramadhan, mengucap dua kalimah syahadah & pergi haji. Kesannya, ramai umat islam yang bertelagah hanya semata-mata untuk mempertahankan perkara yang ada khilaf ulama’. Sebaliknya, Allah mewajibkan kita untuk mengikat tali silaturrahimm. Hakikatnya, fardhu itu luas.
Seorang syeikh memberi perumpamaan,
                “… Jika meja,takdak atasnya, maka itu tak boleh di panggil meja kerana dia ada rukun meja. Tapi atasnya tak dak maka ia tak lengkap…”
                Begitu juga dengan kehidupan kita, jika hanya ada rukun islam di dalam diri ia tidak mencukupi. Hal ini kerana, kefardhuan di dalam kehidupan kita bukan hanya terletak kepada pelaksanaan rukun islam semata.
persaudaraan itu indah jika ianya kerana Allah yang Esa.

Silaturrahim itu juga satu kefardhuan

                Sidang pembaca yang dirahmati Allah,
                Mengeratkan hubungan silaturrahim merupakan satu kefardhuan yang amat dituntut oleh Allah kepada kita. Hal ini kerana, dengan adanya hubungan silaturrahim yang kukuh dapat mengelakkan daripada berlakunya perpecahan sesama sendiri. Hal ini disebut oleh Allah di dalam Al-quran:
                 "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)
                Menjalinkan hubungan silaturrahim juga adalah perkara yang sangat dituntut walaupun ianya tidak termasuk dalam rukun islam yang lima. Hinggakan siapa yang tidak menjalinkan hubungan silaturrahim sesama manusia maka dia bukanlah tergolong dalam  golongan orang beriman. Sabda Rasulullah :
                “ barangsiapa yang tidak mempedulikan perihal orang muslim, maka dia tidak tergolong dalam golongan mereka “ (Alhadis).
                Selain itu, menjaga hubungan dengan kedua ibubapa juga merupakan satu kewajipan walaupun mereka itu kafir. Selagi mana mereka tidak menyuruh kepada perkara yang melanggar syara’, maka wajib untuk kita patuh.

“barangsiapa yang pergi berjihad, tetapi dia tidak menjaga muamalah dengan orang tuanya, maka rugilah dia” (syeikh Usman Niger)
“barangsiapa yang melalaikan orang tuanya, maka dia tergolong dalam golongan orang yang kufur….. yakni kufur nikmat Allah” (syeikh usman Niger)

Khatimah

Justeru, hakikat fardhu itu sebenarnya luas. Tidak tertakluk kepada rukun islam semata.
Ayuh, kita gandakan ibadah supaya kita mampu istiqamah melakukan kewajipan yang dituntut oleh Allah.

Thursday, April 7, 2011

Perkongsian : Wajah Yang Menyenangkan…

Oleh : kalam-azimat


‘Bukankah berpakaian kemas dan sopan itu idaman setiap insan’ picture by raphy of deviant art

Assalamualaikum, salam hormat daripada saya. Moga kalian, sidang pembaca sekalian berada di bawah lembayung rahmat Allah sentiasa dan mendapat pimpinan dan hidayah daripada Allah. Pada kesempatan ini juga saya mengajak untuk kita terus bersyukur dan bersyukur atas nikmat yang diberikan.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…….

Pada kali ini, saya berminat untuk membicarakan suatu topik yang kita semua pernah lalui. Tidak kira umur, pangkat dan darjat kedudukan. Semua insan pasti akan membicarakan hal ini meskipun skala perbincangan itu berbeza-beza. Ada yang menganggap perkara ini remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Tetapi ada juga yang merasakan perkara ini amat besar dan perlu dititikberatkan dalam diri dan masyarakat.

Apakah perkara itu?

Apabila terbaca tajuk yang tertera di atas. Apa yang anda bayangkan? Ya, tajuknya adalah wajah yang menyenangkan. Adakah anda sedang terbayangkan wajah seorang wanita yang putih debu serta putih melepak? Atau juga wajah lelaki kacak dengan bergaya ala-ala pelakon barat? Atau wajah bayi yang masih kecil dalam buaian, yang sedang tidur enak dibuai mimpi. Apakah yang anda fikirkan?

Tidak mengapa dan tidak perlu menjawab. Kerana persoalan itu akan terjawab selepas ini.

Insya Allah…..Apakah niat sebenar saya menulis perkara ini?

Muqadimah

Perasankah kita dalam menjalani kehidupan sebagai manusia, kita akan jumpa pelbagai jenis manusia terutama sekali pabila tiba di kota raya yang sesak. Pelbagai jenis fesyen dan warna menyelimuti tubuh manusia serta berpakaian yang pelbagai status. Ada segelintir remaja wanita yang sanggup meminjam baju adiknya dengan memakai baju t-shirt bersaiz ‘S’. Tidak kurang juga yang yang sentiasa ingin berpakaian ‘feet’ walaupun bukan di kolam renang. Macam-macam kerenah dalam bab berpakaian. Itu tidak disentuh lagi tentang fesyen rambut yang pelbagai aneka warna dan ragam. Terpacak ke setiap penjuru, panjang terburai ke sana-sini dan macam-macam lagilah. Saya pasti anda lebih mengetahui daripada saya akan hal ini.

Kenapa saya sentuh akan hal ini? Adakah perkara ini ada berkaitan dengan wajah?

Menarik soalan itu…….

Baiklah, perhatikan gambar lelaki di atas ini. Jikalau anda bertemu dengannya, apakah persepsi anda terhadap dirinya? Saya bagi anda pilihan dan anda jawab dengan jujur pada diri.

PILIHAN A

“Dia ini adalah seorang yang waras dan baik. Suka membantu orang andainya ditimpa kesusahan. Dia berkeadaan begitu setelah penat membuat kerja. Dia adalah seorang yang perihatin bertanggungjawab dan berwawasan”

ATAU

PILIHAN B

“Dia ini adalah orang yang suka melakukan perkara yang tidak senonoh. Seorang yang pengotor dan tidak hiraukan orang lain. Suka melepak atau merempat di kaki lima. Kemungkinan dia ini penghidu gam dan juga menagih dadah”

Jadi anda lihat gambar berkenaan dan berikan jawapan pada diri anda. Jawapan manakah yang anda pilih. Saya pasti hampir 90% mengakui jawapan pilihan yang kedua amat sesuai dengannya. Benarkan?

Jika anda tidak bersetuju. Terpulanglah kepada anda. Dan saya dapat rasakan ketidaksetujuan anda itu disebabkan anda tidak benar-benar jujur dan tulus daripada hati anda.

Pakaian cerminan wajah manusia

Suatu hakikat yang tidak boleh kita lari adalah pandangan manusia itu sendiri terhadap apa yang kita pakai. Selalu ada yang kurang setuju dengan pendapat saya ini membalas kembali dengan ungkapan tersohor dalam bahasa Inggeris

“Come on la bro, don’t judge the book by its cover”

“Ala, mana boleh tengok luaran ja. Hati baik tau”

Baiklah, kepada yang berkata seperti ini saya ingin bawakan sepotong hadis mudah-mudahan kita boleh tersedar atas kesilapan dalam mentafsir ini.

“Iman bukanlah suatu angan-angan, atau

pun cita-cita, tetapi ianya tersemat di hati dan dibuktikan melalui amalan”

(HR Muttafaqun ‘Alaih)

Apa yang telah diterbitkan melalui amalan sudah semestinya menjadi neraca nilaian manusia. Itulah hakikatnya. Anggapan don’t judge the book by its cover hanya itu untuk buku sahaja relevan ya!. Jangan sesekali mengaitkan dengan manusia. Langsung tidak sesuai.

Pilihan buat Muslimah

Saya bagi dua pilihan dan pilih mana yang terbaik memikat hati anda.

Yang mana satukah wajah yang menyenangkan dan sejuk mata memandang?

Pada kali ini, saya tidaklah berniat untuk mengeluarkan dalil hadis dan nas al-quran berkaitan ini. Tetapi saya ingin melihat tentang fitrah manusia itu sendiri bagaimana. Dan sememangnya fitrah manusia itu pada asalnya suci dan bersih. Jawablah dengan naluri hati kita. Bukan nafsu yang dihiasi oleh mainan syaitan semata. Anda tidak perlu jawab pada diri saya atau sesiapa pun. Jawablah pada diri sendiri…Buatlah nilaian yang tepat

Mahu orang melihat kita bagaimana?

Wahai lelaki, adakah mahu orang lain melebel kita sebagai pengemis dijalanan kerna berpakaian comot. Adakah mahu orang lain cop kita sebagai insan tidak berpendidikan. Adakah mahu semua orang memandang negatif dan tidak selesa dengan kita?Atau memang plihan anda begitu?

Dan adakah perlu malu untuk berpakaian segak dan kemas? Sedangkan itu adalah anjuran Rasulullah sendiri kepada lelaki!

Wahai wanita, adakah mahu dilabel wanita tidak bermaruah kerana sering sahaja menjolok mata lelaki lain? Adakah mahu dicop wanita peleseran hanya kerna bab berpakaian sahaja? Adakah mahu masyarakat memandang serong dan jelek terhadap anda? Atau memang pilihan anda begitu?

Dan adakah perlu segan untuk berpakaian manis, sopan dan menutup aurat? Sedangkan itulah galakan Rasulullah sendiri kepada wanita!

Khatimah

Sungguh, bukanlah niat saya ingin mencela atau menuduh sembarangan. Tetapi untuk memperingatkan supaya kita dapat memberi aspresi wajah yang menyenangkan. Bukankah pakaian itu sebahagian daripada wajah kita?

Cuba perhatikan kepada diri kita sendiri, saya dan diri anda. Pakaian apa kita pakai!!!!….

Ayuh, perkemaskan diri, perkasakan identiti…..

Wednesday, April 6, 2011

..:: Hikmah Sakit ::..

Oleh : Mutiara Wakafan
Ujian itu meningkatkan IMAN bagi yang positif kepada Allah.

                Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk bertemu di dalam post yang seterusnya. Sebenarnya tanpa kita sedari, pelbagai nikmat telah kita perolehi sepanjang kita hidup di atas muka bumi ini. Nikmat kesihatan dan pelbagai lagi nikmat yang tak mampu untuk kita hitung. Nikmat hanya mampu dinilai oleh orang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut telah hilang.
                Apabila nikmat tersebut telah hilang, maka Tuhan akan dipersalahkan. Dan mungkin ianya juga dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada solah di awal waktu.
                Hari ini Allah telah mencabut sedikit nikmat kesihatan daripada saya. Ketika inilah, kita dinilai, adakah kita mampu untuk bersangka baik dengan Allah.

Dalam ujian terselit 1001 hikmah yang tidak kita ketahui.

Sakit Mampu ‘Mengusir’ Dosa Pada Diri

                Sebuah hadis riwayat Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“ Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujjian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya”
                Nah!
                Sudah jelas lagikan bersuluh. Ujian yang diberikan oleh Allah kepada kita mampu menghapuskan dosa sekiranya kita menerima ujian itu sebagai ujian untuk menilai diri kita.
                Saya teringat kisah, dimana terdapat tiga pemuda yang diuji oleh Allah dengan penyakit. Si Botak dengan penyakit botaknya, Si Buta dengan penyakit butanya, dan Si Kusta dengan penyakit kustanya.
                Apabila mereka disembuhkan oleh Allah dan dikurniakan binatang peliharaan masing-masing, kehidupan mereka telah berubah seluruhnya, jika dulu mereka miskin dan dipandang hina oleh masyarakat. Kini, mereka tidak lagi begitu, sebaliknya mereka di pandang tinggi oleh masyarakat.
                Namun, semuanya berakhir apabila Allah mengutuskan malaikat untuk menguji sejauh manakah hubungan mereka dengan Allah. Akhirnya, Si Botak dan Si Kusta dimurkai Allah kerana mereka melupakan Allah setelah diberi kenikmatan. Sebaliknya, Allah meredhai Si Buta kerana dia memandang nikmat dan ujian yang diperolehnya adalah untuk menguji dirinya.
                Bukankah peribadi sebegini yang kita impikan dalam segenap kehidupan kita?
                Sentiasa Husnuzon (bersangka baik) dengan Allah.
Apabila cubaan dan ujian menimpa orang yang kuat hubungannya dengan Allah , lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda cinta dan kasih daripada Allah.
                Ayuh kita memandang setiap ujian yang diberikan dari sudut yang positif!

Khatimah
                Janganlah kita bersedih hati pabila ditimpa ujian yang berat. Sebaliknya, marilah kita mengambil peluang ujian itu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Mungkin dengan ujian itu kita mampu memiliki kedudukan disisi Allah yang tak mampu di raih oleh amal ibadah yang lain.
                Semoga kita mampu menjadi hamba yang sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dan semoga kita berada di antara kedudukan disisi Allah.