..:: Cebisan Kenangan ::..

Showing posts with label teks syarahan. Show all posts
Showing posts with label teks syarahan. Show all posts

Wednesday, May 11, 2011

Istimewa : Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( 3rd Edition)

Oleh :kalam-azimat

Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( 3rd Edition)

Sambungan yang lalu, cuba mencuri masa yang senggang. Dengan kudrat yang terhad dan terbatas. Ilham Ilahi gugur menghiasi benak ini. Menterjemahkan butir bicara dalam bentuk penulisan. Dengan lafaz bismillah. Saya mula menulis. Mungkin ini adalah yang terakhir untuk segmen istimewa ini. Jika ada kelapangan nanti,Insya Allah saya akan menyambungnya. Itu pun bergantung kepada situasi dan kekosongan masa. Moga Allah Redha…

Panduan Penulisan Teks Syarahan:

7.Memurnikan bahasa

Pembaca yang dirahmati, setelah segala isi dikupas dengan panjang lebar. Maka eloklah untuk disemak kembali ayat yang digunakan. Perhatikan setiap patah perkataan yang dinukilkan. Menurut petua daripada Allahyarhamah Ummi Halimaton bin Husin, pastikan dalam ayat tersebut paling kurang ada frasa menarik. Apakah itu? Ia merupakan ayat yang jarang digunakan jarang digunakan dalam pertuturan biasa, tetapi sering digunakan dalam penulisan. Selain itu, cara ingin memurnikan bahasa juga melalui mempelbagaikan perkataan sinonim, meletakkan ungkapan yang menarik,mutiara kata dan juga peribahasa yang bersesuaian….Insya Allah, ini sekadar perkongsian ilmu..

1. Frasa Menarik ini jarang digunakan dalam pertuturan harian. Penggunaan perkataan ini sememangnya akan memberikan impak yang berlainan dan anda sendiri akan merasai kelainan apabila menggunakan frasa ini. Saya akan memberikan contoh perkataan yang saya biasa dengar :

Contoh : Anjakan paradigma, lompatan saujana, integrasi nasional, indikator dominan, senatero dunia dan lain-lain yang difikirkan bertepatan.

2. Sinonim ini pula bermaksud perkataan seerti, iaitu perkataan yang sama maksud tetapi berlainan sebutan. Hal ini kerana, mempelbagaikan penggunaan ayat menyebabkan syarahan anda akan kelihatan lebih banyak kosa kata dan bertambah . Tidak perlu mengulang perkataan yang sama walaupun maksud tetap sama!

Contoh : Kesan - impak, implikasi, natijah, akibat,al-hasil

Terkenal- tersohor, terkemuka, termahsyur,

3. Pepatah dan Ungkapan yang menarik juga boleh juga dikatakan sebagai faktor yang utama untuk menjadikan bahasa penyampaian lebih menarik dan audiens pun ‘tertarik’. Pemilihan ungkapan dan pepatah yang amat tepat amat penting juga bagi memberikan sedikit ‘aura’ kepada panel hakim dan audiens. Ungkapan ini bukan sahaja melihat kepada pepatah Melayu sahaja. Bahkan boleh sahaja dimbil daripada bahasa lain dan dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu. Banyak sumber yang boleh kita perolehi untuk mendapatkan ungkapan ini.

Contoh : Sudah terang, lagikan bersuluh, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dll.

4. Mutiara Kata juga boleh dijadikan sebagai pe’manis’ bahasa. Selalunya mutiara kata ini ini diambil daripada kata- kata ilmuan, alim ulama’, serta tokoh yang terkemuka. Syarahan akan menjadi lebih menarik dengan adanya ‘perencah’ bahasa ini. Antara tokoh yang tersohor yang boleh diambil kata-kata mereka adalah Dr Yusof Al-Qardhawi, Imam Syafie, Khulafa’ Ar-Rasyidin, para Sahabat Rasulullah dan lain-lain. Tidak kiralah sama ada tokoh tersebut warga tempatan atau antarabangsa, yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika bersesuaian dan elok dengan logik akal, maka dipersilakan kata-kata hikmah tersebut menghiasi syarahan anda.

Contoh : “Jika kamu ingin melihat sesebuah Negara pada masa hadapan maka lihatlah pemudanya pada hari ini”. (Dr Yusof Al-Qardhawi)

5. Peribahasa yang bersesuaian seharusnya diselitkan jua dalam syarahan ini. Amat berpatutan dan akan menjadikan syarahan anda seolah-olah lebih bernyawa dan bernafas segar. Kurang yakin? Cubalah sendiri….

Contoh : bagai aur dengan tebing, umpama rembulan jatuh ke riba, laksana kacang lupakan kulit, dan sebagainya

Setakat itu dahulu perkongsian kali ini, saya kira bagi segmen untuk ini ianya sudah tamat.

Jika ada kelompongan dan kecacatan, sila maklumkan ya.

Moga kita dapat saling bertukar-tukar informasi.

Ucapan jazakallahhu kahiran kathira kepada ‘sifu-sifu’ saya dalam bidang ini :

1. Hilal Asyraf bin Abd Razak

2. Muhammad Rafhan Ridha bin Mohd Diah

3. Nu’man Afifi bin Sa’adan

4. Allayarhamah Ummi Halimaton bin Husin

(guru bahasa Melayu saya ketika tingkatan tiga)

5. Ustaz Khairul Azhar bin Bashiron

Monday, April 18, 2011

Istimewa : Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( 2nd Edition)

Oleh :kalam-azimat


Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( 2nd Edition)

Sambungan pada penulisan pada minggu lepas. Setelah Allah memberikan kelapangan masa dan waktu. Kini tibalah masanya kepada perbincangan selanjutnya.

Moga Allah merahmati kerja-kerja kita….

Panduan Penulisan Teks Syarahan:

6. Mula menyusun ayat.

Untuk ini, saya suka untuk mencurahkan segala ilmu yang telah diperolehi semasa berguru dengan Allahyarhamah Ummi Halimaton bin Husin. Teknik penyusunan ayat yang ditekankan oleh beliau saya gunakan sebaiknya ketika menyusun ayat. Bukan dalam penulisan syarahan sahaja saya amalkan malahan teknik ini juga saya terjemahkan dalam kertas peperiksaan SPM Bahasa Melayu. Maka apakah hasilnya? Alhamdulillah (A+) jawapannya….

Saya berminat untuk menggunakan teknik (AMBCK)….Apakah teknik itu? Saya akan perjelaskan tiap sesuatu maksud tersirat AMBCK ini.

A- Apakah? Ia merujuk kepada apa pada isi itu. Kita sebolehnya memperjelaskan apakah maksud isi yang dibentangkan. Penjelasan tentang ini selalunya hanya satu ayat sahaja. Tidak menjadi kesalahan jua jika terlebih ya.

M- Mengapa? I merujuk kepada mengapa kita mengemukakan isi tersebut. Selalunya ia menunjukkan kepentingan isi tersebut diketengahkan. Pelbagai kaedah yang boleh diguna pakai untuk memastikan bahgian ini menarik.

B- Bagaimana? Ia merujuk kepada bagaimana isi ini boleh terjadi. Selalunya ia menunjukkan bagaimana isi ini

Persoalan-persoalan ini penting bagi mendapatkan penghuraian yang lebih baik dan mantap. Tidak semestinya setiap isi yang ‘digoreng’ mesti untuk ada AMB ini. Tetapi, amatlah baik ayatnya jika kesemua AMB ada bersama. Insya Allah, ayatnya lebih baik.

C- Contoh. Ia pula merujuk kepada misal@contoh bagi isi yang diutarakan. Contoh ini boleh sahaja diambil pada masa zaman moden ini atau pun sejarah masa lampau. Penetapan ayat contoh ini tidak semestinya pada akhir ayat. Boleh juga diletakkan pada awal ayat. Bergantung kepada kreativiti penulis.


K
- Kesimpulan. Seeloknya pada akhir ayat tersebut, selitkan juga kesimpulan kecil bagi keseluruhan isi ini. Apa yang sering saya lakukan untuk ini dengan meletakkan penanda wacana pabila bertemu dengan kesimpulan. Contoh ayatnya : Justeru itu, Lantas, Lantaran itu, dan sebagainya.

Tidak perlu untuk memastikan kaedah AMBCK ini tersusun dengan susunan sebegini rupa. Boleh untuk membuat ikut susunan sendiri seperti, ABMCK, ABBKCMK dan sebagainya. Ianya tidaklah terlalu ‘rigid’ dengan satu cara sahaja. Banyak cara untuk dipersembahkan.

Di sini saya berikan contoh isi yang pernah saya buat :

Kesatuan memupuk perpaduan mapan(Isi yang dipilih)

Perpaduan merujuk kepada interaksi dan komunikasi yang baik dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat.(A) Nilai perpaduan ini hanya dapat diwujudkan apabila kesatuan timbul dalam jiwa dan minda setiap anggota masyarakat.(B) Hakikatnya, perpaduan amat penting dalam kehidupan. Ia diperlukan untuk menumbangkan kepimpinan yang zalim seperti yang diterjemahkan di Mesir.(C) (M)Tahukah kalian, perpaduan yang kukuh ini diperolehi melalui ikatan ukhwah dan kesatuan yang erat. (B)Persaudaraan sesama muslim ibarat sekujur tubuh, jika kulit merasa sakit, mata mengalirkan air, mulut mengaduh sakit, dan seluruh anggota memberi sokongan. Nah, inilah natijah yang melahirkan perpaduan yang diidamkan setiap insan.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Seorang mukmin adalah cerminan bagi mukmin yang lain”

(HR At-Thabrani dari Anas R.Anhu)

Hadis ini memperlihatkan bahwa kesatuan akan menyebabkan karakter mukmin seolah-olah sama dan menjadi cermin kepada temannya yang lain. Justeru, benarlah perpaduan dapat dijana andai kesatuan terlaksana.(K)

7. Kesimpulan keseluruhan

Setelah selesai segala isi dibentangkan. Maka tiba giliran kesimpulan pula mengambil peranan. kesimpulan ini agak mudah untukdilakukan. Sepanjang pemerhatian saya, terdapat dua kaedah yang diguna pakai untuk merangka isi ini.


a- Memperjelaskan setiap satu isi.

Maksudnya, hanya dengan mengcopy paste balik isi yang telah ditulis kemudian menyenaraikannya semula satu persatu. Ditambah juga apa yang perlu pada awal dan akhir isi kupasan.


Contoh :


“Akhir kalam, dengan mengambil kelima-lima hujah saya sebentar tadi. Maka dapatlah diduksikan bahawa kesatuan yang utuh dapat menjana peribadi ummah yang gemilang.
Kita juga memahami bahawa :

1.Kesatuan memupuk perpaduan mapan

2.Kesatuan Pemangkin Intelektual Insan

3.Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah

4.Kesatuan menjana ekonomi Nan stabil

5.Kesatuan Memartabatkan Negara Berdaulat

Konklusinya, wehdah atau kesatuan merupakan antara prasyarat yang amat penting bagi membentuk khaira ummah. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.”


b-
Merangkumkan semua isi dalam saru perenggan.


Maksudnya, semua isi yang diberikan diringkaskan dalam satu perenggan.

Contohnya :

“Akhir kalam, kesatuan ini sebenarnya amat penting kerana dapat memupuk perpaduan mapan, menjana intelektual insan, memupuk semanagt mahabbah, menjana ekonomi nan stabil, memartabatkan Negara berdaulat.

Konklusinya, wehdah atau kesatuan merupakan antara prasyarat yang amat penting bagi membentuk khaira ummah. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dipraktikkan oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.”

*********

Tetapi untuk ini saya nasihatkan untuk ambil jenis yang pertama kerana lebih jelas dan nampak dengan jelas isi-isi yang telah disyarahkan.

Perkongsian ini belum lagi tamat…….

InsyaAllah akan bersambung pula kepada edisi yang akan datang..

Ucapan jazakallahhu kahiran kathira kepada ‘sifu-sifu’ saya dalam bidang ini :

1. Hilal Asyraf bin Abd Razak

2. Muhammad Rafhan Ridha bin Mohd Diah

3. Nu’man Afifi bin Sa’adan

4. Allayarhamah Ummi Halimaton bin Husin

(guru bahasa Melayu saya ketika tingkatan tiga)

5. Ustaz Khairul Azhar bin Bashiron

Sunday, April 10, 2011

Istimewa : Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama/Pidato( First Edition)


Oleh :kalam-azimat

Panduan Penulisan Teks Syarahan Agama'- picture of sardonyx_wolfess

Acap kali juga ada beberapa kenalan dan teman memohon bantuan kepada saya untuk menulis teks syarahan agama untuk pertandingan. Saya akui dahulu saya pernah menyertai pertandingan ketika menduduki sekolah menengah dahulu. Saya juga Allah izinkan untuk bertemu dan bersua muka dengan insan yang pada hemat saya amat mahir dalam bidang ini. Mereka terdiri daripada guru dan juga senior saya. Maka pada kali ini, khas buat anda semua ingin saya kongsikan berkaitan ini. Penulisan teks syarahan ini seringkali dianggap sukar bagi sesetengah pihak. Bagi saya ianya tidaklah sesukar mana asalkan minat dipupuk dan ada sikap ingin mencuba.

Saya hanya sediakan jalan dan panduan untuk yang berkenaan. Harapnnya dapat dimanfaatkan oleh anda sekalian. Moga Allah redha akan kerja kita. Disini saya sertakan beberapa langkah yang telah saya pelajari dan berdasarkan pengalaman 3 tahun menyertai pertandingan syarahan ini. Saya kira, ilmu saya ini amatlah cetek jika ingin dibandingkan dengan yang lain. Meskipun begitu, saya ingin kongsikan kepada kalian ilmu ini. Moga yang masih belum mencuba boleh menjinakkan diri dan yang telah sertai dapat mempertingkatkan kualiti diri. InsyaAllah

Panduan Penulisan Teks Syarahan:

1.Memilih tajuk yang sesuai dengan kemampuan

Pembaca yang dihormati, aspek ini amatlah penting kerana akan mempengaruhi isi yang akan disampaikan. Selalunya tajuk yang dibekalkan mudah untuk dibawa tetapi hendaklah difikirkan juga. Saya cadangkan yang masih baru dalam bidang ini, pilihlah tajuk yang umum dan isinya boleh masuk dengan mana-mana tajuk ynag kita jumpa. Contoh tajuk yang umum berkaitan dengan taqwa, akhlak, ukhwah, perpaduan, dan sebagainya. Perkara ini penting bagi memahirkan diri dengan tajuk yang lain pada masa akan datang.

3. Memberikan definisi tajuk.

Definisi tajuk amat penting kerana akan memberikan gambaran keseluruhan syarahan yang ingin disyarahkan. Biasanya definisi ini menerangkan maksud setiap patah perkataan tajuk yang telah diberikan. Rujuklah kamus mahupun apa jua medium yang ada untuk memperjelaskan setiap patah perkataan yang diberikan. Setelah selesai bahagian itu, membuat kesimpulan secara total bahagian itu. Dan anda akan bergerak ke bahagian yang seterusnya.

Contoh tajuk : ‘Ukhwah Mantap, Ummat Tegak’

Definisi tajuk :

Ukhwah asal perkataan arab diterjemahkan membawa maksud persaudaraan,

Mantap pula sinonim dengan hebat, unggul dan cemerlang,
Ummat merujuk kepada suatu kelompok masyarakat yang besar,
Tegak menjunjung erti kukuh dan stabil….
Secara totalnya, tajuk ini membicarakan tentang persaudaraan yang unggul akan membina sebuah masyarakat yang kukuh lagi utuh.

4. Memilih dalil yang tepat.

Sebelum membuat isi, pastikan dalil telah dipilih terlebih dahulu. Pemilihan dalil ini dipetik melalui al-quran dan juga hadis. Saya akui amatlah jenuh dan penat jika mahu membelek helaian demi helain al-quran semata-mata ingin mencari dalil yang berkaitan. Ataupun membuka kitab hadis untuk itu. Jika dapat lakukannya amatlah bagus, tetapi amatlah penat. Jadi apa yang disarankan mencari buku agama ataupun majalah islamik yang menyentuh akan hal yang berkaitan dengan tajuk. Pasti akan memudahkan pencarian anda. Lakukanlah dan kutip sebanyak mungkin dalil-dalil yakni al-Quran dan hadis yang telah dijumpai, maka setelah itu anda akan terbayang apa yang anda tulis kelak!.

5.Memilih isi yang sesuai dan bermakna

Isi pula dipilh berdasarkan tajuk yang telah diambil serta dalil yang dikemukakan. Pastikan ianya berkaitan dan ada sangkut paut. Apa yang saya sering lakukan apabila merangka isi@elemen adalah menulis kata kunci terlebih dahulu. Cuba bandingkan kata kunci itu dengan tajuk, dan dalil yang dikemukakan. Jika ianya bertepatan maka tibalah giliran untuk ‘menggoreng’ isi.

Contoh kata kunci dan dalil yang bersesuaian :

Kata kunci : Kesatuan Memupuk Semangat Mahabbah

Dalil yang bersesuaian :

Sabda Rasulullah :

‘Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirnya sendiri.”
(Riwayat Malik)

Nampak? Keserasian dan persamaan dan dari segi kata kunci dan tajuk yang telah dipilih.

Jika sudah sampai tahap ini, bagi saya kita sudah mampu ‘nampak’ apa yang ingin ditulis. Usah risau dan bimbang andainya ayat tunggang-langgang atau memeningkan. Buat dahulu dan anda akan dapat hasilnya. Walau bagaimanapun, teguran daripada yang lebih berpengalaman amatlah penting. Jangan pandang enteng, dan sentiasa memperbaiki kesalahan yang dilakukan.

Saya secara peribadi, masih banyak kekurangan dan kelemahan. Seandainya ada mentor atau insan yang berpengalaman dalam hal ini nampak kekurangan dan kecacatan dalam tulisan saya ini. Sila maklumkan.

Insya Allah kita boleh saling berkongsi maklumat dan informasi….

Akan bersambung pada edisi akan datang….

Ucapan jazakallahhu kahiran kathira kepada ‘sifu-sifu’ saya dalam bidang ini :

1.Hilal Asyraf bin Abd Razak.

2.Muhammad Rafhan Ridha bin Mohd Diah

3.Nu’man Afifi bin Sa’dan

4.Allahyarhamah Ummi Halimaton bin Husin

(guru bahasa Melayu saya ketika tingkatan tiga)