..:: Cebisan Kenangan ::..

Showing posts with label Story. Show all posts
Showing posts with label Story. Show all posts

Friday, December 30, 2011

...:: MENGAPA IBU MENANGIS ::...


hargailah setiap tangisan seorang wanita yang banyak berkorban demi INSAN yang disayanginya. ~ picture by  ihearttuberculosis of Deviant Art.



Suatu ketika, ada seorang anak lelaki yang bertanya kepada ibunya. "Ibu,mengapa ibu menangis ?". Ibunya menjawab, "Sebab aku wanita." Saya tidak mengerti," kata si anak lagi. Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. "Nak, kamu memang tidak akan mengerti......"
Kemudian, anak itu bertanya kepada ayahnya. "Ayah,mengapa ibu menangis ?"
Sang ayah menjawab, "Semua wanita memang menangis tanpa ada alasan."

Hanya itu jawapan yang dapat diberikan oleh ayahnya. Lama kemudian, si anak itu menjadi remaja dan tetap bertanya-tanya, mengapa wanita menangis. Pada suatu malam, ia bermimpi dan mendapat petunjuk daripada Allah mengapa wanita mudah sekali menangis. Saat Allah menciptakan wanita, Dia membuat menjadi sangat penting. Allah ciptakan bahunya,agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya. Walaupun, bahu itu cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tidur.

Allah berikan wanita kekuatan untuk melahirkan zuriat dari rahimnya.Dan sering kali pula menerima cerca daripada anaknya sendiri......Allah berikan ketabahan yang membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah di saat semua orang berputus asa.

Wanita, Allah berikan kesabaran, untuk merawat keluarganya walau letih,sakit, lelah dan tanpa berkeluh-kesah. Allah berikan wanita, perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya, dalam situasi apa pun. Biarpun anak-anaknya kerap melukai perasaan dan hatinya.
Perasaan ini memberikan kehangatan kepada anak-anaknya yang ingin tidur. Sentuhan lembutnya memberi keselesaan dan ketenangan. Dia berikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya, melalui masa kegentiran dan menjadi pelindung baginya. Bukankah tulang rusuk suami yang melindungi setiap hati dan jantung wanita ?

Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan untuk membolehkan wanita menilai tentang peranan kepada suaminya. Seringkali pula kebijaksanaan itu menguji kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap saling melengkapi dan menyayangi.

Dan akhirnya, Allah berikannya airmata agar dapat mencurahkan perasaannya...
Inilah yang khusus Allah berikan kepada wanita, agar dapat digunakan di mana ia inginkan. 
Hanya inilah kelemahan yang dimiliki wanita, walaupun sebenarnya, airmata!
" Ini airmata kehidupan."

Thursday, November 3, 2011

Cerpen : Diarii Seorang Guru (Siri 1)


Guru mungkin juga 'Murabbi' atau juga bukan 'murabbi'

Panaroma pada malam itu sungguh indah. Keindahan itu turut dihiasi
pula dengan simbahan cahaya purnama yang amat mendamaikan. Burung pula
berkicauan menambahkan seri malam itu. Nun jauh di sana, sebuah
kerera Toyota Camry berwarna silver membelah jalan raya dengan
pemanduan yang cermat. Dari arah utara bergerak ke selatan. Dari Arau
melintasi destinasi utama iaitu Bandar Kangar.

Kereta bernombor plat WAU 1900 itu terus kenjang dengan kepantasan
maksimum. Sedang mengejar masa. Masa semakin mencemburuinya. Melalui
‘round-board’ di tengah-tengah metropolitan Bandar Kangar yang sibuk.
Lalu pantas stereng membelok memasuki perkarangan Hotel Putra Palace.
Tayar kereta pula sedang mencari ruang kosong yang amat sesuai untuk
diparkir. Setelah ruang ditemui, terus kereta berkenaan berhenti.

Pintu kereta terbuka lalu kakiku mula mengatur langkah menuju ke
hotel dengan derapan yang pantas. Kaki terus melangkah laju mendaki
anak-anak tangga. Seketika, aku terpaku di hadapan dewan yang
tersergam indah. Aku kaget seketika. Permaidani merah terhampar
memanjang daripada pintu ke ruang tengah dewan tersebut. Sekilas,
mataku menangkap paparan yang tertera pada banner majlis malam
tersebut.

“Majlis Anugerah dan Jamuan Makan Malam Guru Cemerlang Negeri Perlis.”

Dewan Utama, Hotel Putra Palace
15 Mei 20x1
8.00 – 11.00 malam

Dirasmikan oleh :
Yang Amat Berhormat Dato’ Isa B Md Sabu.
Menteri Besar Perlis

“Dengan segala hormatnya, majlis dengan sukacitanya menjemput dan
mempersilakan Tuan Mubarak bin Hamdan untuk masuk ke dalam dewan.”
Seorang lelaki sederhana tinggi berpakaian segak dan kemas menjemput
aku masuk. Dia bertindak sebagai pengacara majlis.

Dadaku mula berdegup kencang. Merasa suatu yang amat ganjal dalam
hidupku. Tiba-tiba sahaja namaku diumumkan sebentar tadi melalui
pembesar suara menjemput untuk aku melangkah masuk ke dalam dewan.
Saat langkah pertamaku menjejak kaki seiring dengan itulah tepukan
yang gemurah oleh seluruh hadirin membuatkan diriku menjadi tidak
keruan. Apakah yang sedang berlaku ini?

Kemudian, aku dipersilakan untuk duduk bersama dengan barisan VVIP
yang terdiri daripada menteri-menteri dan juga ahli koprat yang
berjaya. Aku pada mulanya meragui apakah benar ini tempat dudukku.
Namun, segala resah dan gundah-gulana ini ditenteramkan oleh guru-guru
yang hadir. Mereka membenarkan keraguan aku itu. Malahan, mereka
menyatakan sememangnya aku harus berada di tempat tersebut.

Entah mengapa tiba-tiba memoriku berputar sekitar sedekad yang lalu.
Mengenangkan kembali peristiwa yang telah berlalu di telan zaman.
Tiap-tiap cerita dahulu kala yang menggamit perasaan kembali
bertandang dalam kotak permikiranku. Aku menghela nafas dan
menghembuskannya perlahan. Satu per satu nostalgia lama menari-nari
dalam mindaku. Aku kembali menjejaki peristiwa lama yang telah berlaku sekitar sedekad
yang lalu.

***********

“Rahmat, Oh Rahmat, mana kerja yang cikgu bagi semalam?” tanyaku
dengan nada yang tinggi. Membuatkan suasana kelas pada mulanya seperti
pasar malam bertukar sunyi sepi.

“Kerja? Kerja apa cikgu? Setahu saya semua kerja saya sudah lama saya
hantar” Rahmat menjawab dengan sinis. Sengaja ingin menyakitkan hati
gurunya itu. Padahal, memang satu kerja pun yang diberikan tidak
pernah disiapkan.

“Kamu ni ada masalah apa? Cikgu bagi kerja sedikit pun kamu tidak
mahu buat, “nafasku mendengus kasar. Sedang menahan api kemarahan yang
sedang membuak di dalam dada. Kalau ikutkan hati mahu sahaja
melepaskan pelempang yang berbisa ini. Setakat ini, kesabaran masih
lagi menjadi benteng.

“Alah cikgu ni, takkan la cikgu tak kenal pelajar yang paling pandai
dalam kelas ini, Rahmat bin Dollah. Buat apa la nak susah-susah buat
buang masa ni,” dengan perasaan bongkak Rahmat menjawab. Itulah
hakikat yang payah untuk aku terima. Dia seorang pelajar paling pandai
dalam kelas Tingkatan 5 Ehsan. Tetapi sikapnya sangat malas dan suka
meninggi diri, membuatkan aku menyampah dan meluat. Tetapi hakikat
pahit itulah yang harus aku telan. Mentang-mentanglah ayahnya adalah
penghulu kampong Beseri ni. Dia suka tunjuk lagak.

Sekolah Menengah Kebangsaan Beseri atau lebih lagi dikenali dengan
nama SMK Beseri. Sekolah ini tempat aku memberikan khidmat sebagai
tenaga pengajar mata pelajaran Ekonomi Asas. Subjek yang menjadi
ketakutan segelintir pelajar. Jika dikatakan subjek ini susah, aku
rasa tanggapan itu silap kerana bagiku subjek sains tulen yang lain
jauh lebih sukar daripada subjek ini. Mungkin kerana pengajarnya itu
terkenal dengan gelaran ‘Cikgu Singa’ membuatkan pelajar lain
kecut-perut denganku.

Memang aku di sekolah ini terkenal dengan karakter guru yang sangat
garang. Oleh sebab itulah, aku juga merupakan seorang guru disiplin.
Segala masalah disiplin semuanya akan ku tangani dengan mudah.Tetapi
yang menghairankan aku ialah sikap aku yang sangat tegas ini tidak
dihiraukan oleh Rahmat. Dialah satu-satunya pelajar yang tidak gerun
denganku. Sudah banyak kali dia telah ditangkap atas sebab masalah
disiplin. Tetapi sikapnya tetap begitu malahan semakin menjadi-jadi
sejak belakangan ini.

Kes rokok, ponteng kelas, biadap dengan guru-guru, dan banyak lagi
kes yang sudah menjadi lali apabila aku mendengarnya. Rahmat tetap
juga tidak serik bahkan telah meluaskan pengaruhnya kepada
rakan-rakannya yang lain. Jika ingin diambil tindakan terhadapnya maka
ayahnya pula datang mengeruhkan keadaan. Tok Penghulu itu tetap
mempertahankan anaknya biarpun mengetahui masalah yang dilakukan oleh
anaknya terlalu banyak. Telah banyak surat amaran yang telah
dikeluarkan kepada anaknya, namun semuanya tidak diendahkan. Tambahan
pula, si Rahmat ini memang licik. Dia berkelakuan amat baik di hadapan
ayahnya. Tetapi di belakang ayahnya alahai hanya Allah yang tahu.
Memang dasar hipokrit!

Aku memahami kondisi ayahnya sebagai ketua kampong Beseri yang ingin
sentiasa dipandang elok oleh masyarakat setempat. Sebagai ketua
kampong, amatlah mengaibkan jika penduduk tempatan mengetahui sikap
buruk anaknya. Justeru itu, ayahnya selalu menggunakan ‘kuasa’ yang
dimiliki untuk membetulkan setiap laporan disiplin berkenaan tingkah
laku anaknya. Apa lagi semakin naik minyaklah si Rahmat itu. Sungguh,
tindakannya yang terlalu memanjakan dan membiarkan perilaku Rahmat itu
amat meresahkanku. Memang anaknya itu menaikkan reputasi sekolah
dengan pencapaian yang membanggakan tetapi dalam masa yang sama turut
mencemarkan imej dengan kesalahan disiplin. Belum lagi cerita tentang
masalah pelajar lain. Aduh, masalah semakin bertimbun dan memberat!

**************************************

Aku pulang lewat ke rumah hari ini. Baru sebentar tadi aku bertekak
dengan penghulu Dollah berkenaan anaknya, Rahmat. Sang ayah yang tidak
habis-habis menyalahkan pihak sekolah . Aku bertambah geram melihat
senyuman sinis Rahmat yang mendapat pembelaan ayahnya. Aku juga
mendapat makluman bahawa ayahnya juga merupakan seorang imam di masjid
berdekatan. Oleh sebab itulah, aku mula memandang serong terhadap ahli
agama. Semua yang memakai jubah, kopiah aku anggap mereka bodoh dan
tidak boleh menilai keburukan.

Lantaran itu, aku telah mula meninggalkan solat. Penyakit hati, benci
bersarang dalam hatiku. Semua yang berkaitan dengan agama, yang aku
pelajari ketika waktu kecilku dahulu ditinggalkan sedikit demi
sedikit. Entah mengapa, hari yang aku lalui semakin suram. Perasaan
dengki, benci dan dendam kesumat semakin membarah dan mendarah daging
dalam jiwaku. Al-Quran langsung aku tinggalkan. Aku lebih berminat
dengan majalah hiburan tanah air. Jiwaku mula terasa kosong dan
kesepian.

Biarpun aku menyedari berlaku kelompongan dalam sukma ini, aku tetap
dengan pendirianku ini. Sampai tahap solat bagiku tiada apa-apa makna.
Sejak ketika itu, hiduplah aku dengan kehidupan yang baru jauh daripada hidayah
Allah. Kekadang pernah juga untuk aku rasa ingin seperti dahulu, sperti sedia kala. Tetapi apabila teringatkan masalahku dengan Penghulu Dolah yang tidak pernah surut,
aku pantas melupakan hajatku itu. Aku membawa perasaan amarah
membuak-buak dalam jiwa. Tanpaku sedari, sikapku tadi telah
menyebabkan aku telah hilang punca. Hanyut ditelan emosi yang membaham
diri.


********

Malam itu, aku mula membuka lap topku.Mula mencongak-congak memikirkan
bagaimana kerja yang bertimbun boleh disiapkan dalam masa yang singkat
dan efektif. Jari-jemariku mula menari-nari pada papan kekunci lap
top. Menulis perancangan mengajar untuk esok hari. Sambil mata ini
sedang fokus kepada paparan di skrin komputer, tiba-tiba telefon
bimbitku berdering. Tanda ada orang sedang membuat panggilan telefon
terhadapku.

“Helo,….Assalamualaikum,” muqadimah perbualan bermula.

“Waalaikumusslam, ini Cikgu Mubarak kah? Guru yang mengajar subjek Ekonomi
Asas di SMK Beseri?” Lontaran soalan bergema. Kedengaran batuk kecil
dihujung talian. Suaranya kedengaran agak garau. Mesti lelaki ni.

“Ya saya. Kenapa encik?” aku membenarkan dakwaannya.

“Begini cikgu. Saya ada hajat yang sangat besar cikgu. Saya ada
seorang anak tingkatan lima pada tahun ini dan akan menduduki SPM
tidak lama lagi. Jadi saya amatlah berbesar hati jika cikgu boleh
tolong ajarkan subjek Ekonomi Asas kepadanya. Dia amat memerlukan
bimbingan dan tunjuk ajar daripada cikgu.” Lelaki menutur bicara
dengan nada yang sayu. Menandakan pengharapan yang tinggi terhadapku.

“Bila tu encik? Kenapa dia tidak memantapkan sahaja pembelajarannya di
sekolahnya sahaja?” Doa soalan sekali gus terpancul keluar dari
mulutku.

“Pada setiap hujung minggu. Erm, sebenarnya anak saya memang saya
telah menghantarnya ke sekolah. Tetapi malanganya dia baru sahaja
terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia mengalami kecederaan yang
amat teruk dan kedua-dua kakinya patah. Jadi, dia telah mendapat cuti
selama 6 bulan setakat ini. Menurut doktor kemungkinan cutinya akan
berpanjangan. Oleh itu, saya tidak mahu dirinya ketinggalan dalam
pelajaran dan menjemput cikgu untuk mengajarnya. Boleh cikgu?”
Mendatar sahaja suara lelaki berkenaan bercerita.

Aku sungguh tersentak mendengar perkhabaran itu. Sungguh perit jika terlibat dalam kemalangan kemudian cedera kedua-dua belah kaki patah. Amat payah untuk bergerak kemana-mana. Tanpa berfikir
panjang aku menerima sahaja tawarannya itu. Biarpun aku menyedari penerimaan
aku itu telah menyebabkakn masa lapangku dirumah telah ‘dicuri’.
Ah, biarkanlah. Aku bersimpati terhadap nasib pelajar itu. Lagipun,
aku sudah kebosanan di rumah mendengar leteran teman sebumbung denganku.
Biasalah kehidupan bujang selalunya begitu.

Mendengar jawapanku yang positif itu, aku dapat merasakan kegirangan
pada hati seorang insan bernama ayah. Kemudian melalui corong telefon
berkenaan sang ayah mengkhabarkan berita gembira itu kepada anaknya.
Lafaz tahmid kedenganran panjang. Aku juga tumpang gembira atas berita
itu. Seulas senyuman bergayut pada bibir. Maka pada hari itu, tanpa
aku sedari bermulalah episod kehidupan aku yang baru.

****

“Pap!” satu tamparan yang deras melekat pada pipi Rahmat. Mungkin
kerana daya yang dikenakan terlalu kuat menyebabkan Rahmat jatuh
tersungkur. Wajahnya mula kemerahan. Tanda kemarahan yang telah
merasuk jiwa anak muda tersebut. Pada hari ini aku tidak mampu lagi
menahan kesabaran aku pabila mengetahui dia mula terbabit dalam kes
juvana yang bagiku amat serius. Iaitu terbabit dalam kes buli. Malah,
kes tersebut telah sampai kepada pengetahuan pihak polis. Hal ini
pastinya akan mencemarkan imej sekolah. Aku sudah tidak mampu menahan
amarah yang sedang membuak.

Perkara itu aku sudah jangkakan akan berlaku, Rahmat bangun kembali
dan bersiap sedia untuk lakukan serangan. Aku juga telah bersedia
untuk menyambut serangannya. Aku dahulu pernah menjadi jaguh dalam
ilmu persilatan yang diwarisi secara turun-temurun. Siapa yang cuba
mencabarku, Maka terimalah akibatnya. Seorang pelajar yang degil
sedang mencabar guru disiplinnya untuk bertumbuk. Itulah antara aku
dan Rahmat. Rahmat mula melepaskan tumbukan, aku menangkap tangannya
lalu memusingkannya kebelakang. Mematikan pergerakannya. Satu dengusan
yang kuat melewati kerongkongnya menandakan mengalami kesakitan akibat
pergerakan aku yang pantas itu.

Hanya beberapa pergerakan sahaja sudah mampu untuk aku mematikan
langkahnya. Kemudian Rahmat terduduk berlutut. Saat inilah suatu
tamparan lagi hinggap dipipinya. Percikan api kemarahan membuak
sehingga tidak mampu untuk aku menahan gelojak amarah ini. Kemudian,
bertalu-talu tendangan dan tumbukan kulepaskan kepadanya. Sehingga
tubuhnya yang tinggi lampai itu menjadi lembik. Mukanya turut lebam
menerima amukanku pada hari itu. Guru-guru lain hanya mampu untuk
mendiamkan diri dan tergamam menyaksikan tragedi itu. Bilik guru yang
riuh-rendah tiba-tiba bertukar menjadi sunyi.

“Kamu tahu tak, tindakan kamu ini boleh menyebabkan kamu dihantar ke
sekolah Hunrey Gurney. Mahu kamu ke sana,?” Pekikan aku boleh
meluruhkan jantung sesiapa yang mendengarnya. Rahmat ketika itu hanya
mendiamkan diri. Cecair merah pekat mengalir keluar daripada mulutnya.
Bibirnya pecah akibat hentakan aku yang begitu kuat.

Cikgu Faisol datang kepadaku lalu mencuba untuk mententeramkan api
kemarahan yang sukar untuk dipadamkan. Aku berundur beberapa langkah
kebelakang. Lafaz istighfar berkumandang panjang. Tatkala inilah
Penghulu Dollah datang lalu menerpa ke arah Rahmat. Memangku Rahmat
yang sudah tidak terdaya dek pukulan yang padu. Kemudian, penghulu
Dollah bangun dan mula memaki-hamun kepada aku. Segala sumpah-seranah,
perkataan kotor keluar daripada mulutnya.

Aku bertambah meluat melihat seorang ayah yang hanya tahu membela anak
yang sudah terang-terangan melakukan kesalahan. Tok imam apakah ini
yang sudah tidak tahu akan adab dan sopan ketika berucap. Aku mula
rimas apabila dilabelkan sebagai pendidik yang tidak layak menjadi
guru, cuai dan ganas. Bukan setakat itu sahaja, dia mula menuduh aku
dengan dengan tuduhan yang menyakitkan hati. Menuduh aku guru yang
tidak cukup bertauliah dan makan gaji buta.

Terasa sahaja tangan ini ingin bertindak, namun pergerakan aku itu
dikesan oleh Cikgu Faisol lalu dia cuba bertindak sebelum apa-apa
perkara yang buruk berlaku. Kata-kata penenang dan kesabaran sering
meniti dibibirnya. Aku jadi serba salah dan tertekan. Maka aku
dahulukan perasaan sabar menyelubungi hati jiwa dan perasaan. Memang
pedih menerima tohmahan dan cacian yang berbaur fitnah ini. Mujur guru
lain bertindak menenangkanku sebelum kaki pula yang terangkat! Siaplah
kamu wahai Tok Penghulu!

Akan bersambung pada ‘post’ akan datang...Insya Allah

Monday, May 9, 2011

Perkongsian : Apabila kita berHiMEGA

Oleh : kalam-azimat

"Program ini memang telah berlalu pergi, namun apa yang telah dapat jua harap tidak berlalu pergi"

Alhamdulillah, syukur kehadarat Allah SWT memberi kesempatan kepada saya mencoretkan sesuatu berkaitan dengan program yang telah saya ikuti baru-baru ini iaitu Program Hijrah Menara Gading 2011 (HiMEGA 11) bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. Banyak pengalaman yang diperolehi di sana disamping dapat bertaaruf dengan kenalan yang baru. Dan kini, ramai kenalan saya khabarnya sudah mula menjejakkan kaki ke Menara Gading. Tahniah diucapkan..(^_^)

Saya pula kini sedang menunggu tarikh keramat yang akan menjemput saya menempuh alam baru tidak lama lagi..Insya Allah, jika diizinkan oleh Allah SWT.

Muqadimah

Seminggu lalu, ada teman saya meminta untuk saya menukilkan sedkit pengalaman tentang apa yang dapat di Program HiMEGA itu ke dalam blog ini. Saya tersenyum sahaja, tanpa mengiyakan atau menidakkan. Pada saya, memandangkan sudah ramai teman mula melangkah ke alam ini maka saya rasa elok berkongsikan akan tersurat dan tersirat dalam program tersebut. Perkara yang tidak dapat secara langsung melalui penyampaian. Tetapi dirasakan perlu apabila minda berfikir akan tentangnya.

Belajar Mujahadah

Saya mula nampak, pabila kaki ini mula menjejak kaki ke IPT, maka bermulalah mengishtiharkan perang pada diri. Aik? Kenapa perang pula? Bukan perang mengangkat senjata atau menghunuskan pedang dan lembing. Tetapi bermulanya peperangan dengan nafsu sendiri. Apa yang saya perhatikan, pabila mula masuk ke IPT ini, pantas sahaja minda merasai kebebasan yang ‘hakiki’. Bebas buat apa yang disukai yang selama ini dikongkong oleh sekolah menengah. Rasa terpenjara dahulu dengan peraturan yang membebaknakn dilepaskan di IPT ini. Maka segala topeng yang menutupi wajah ini akan tertanggal dengan sendirinya. Ya, kita bebas untuk lakukan apa sahaja. Maka ketika inilah saya nampak kita perlu belajar untuk melawan hawa nafsu atau Mujahadah Al-Nafs…

Teringat penyampaian murobbi ketika di MATRI dahulu,

Sahabat Rasulullah dahulu amat gembira apabila pulang daripada medan peperangan sehinggakan mereka mengatakan :

“Alhamdulillah, peperangan besar kita telah Tamat”

Pantas Rasulullah meningkah ;

“Ada, peperangan yang lebih besar lagi”

“Apakah peperangan itu, Ya Rasulullah” para sahabat bertanya

“Berperang dengan hawa nafsu sendiri”

Inisiatif Sendiri

IPT adalah antara pintu untuk kita mula belajar berinisiatif sendiri, belajar berdikari. Bukan dalam hal mengurus diri, dan keperluan lahiriah juga. Saya juga nampak ianya medan tarbiyyah dzatiyah kan berjalan. Jika ingin menguruskan makan minum, pakaian, keperluan diri, saya amat yakin semua mampu melakukannya. Tetapi yang harus kita rungsingkan bagaimana kita menguruskan rohani, ibadat kita dikala tiada siapa yang menyuruh dan menegur? Dakala tiada nasihat yang menjenguk telinga ini? Itulah yang kita sama-sama fikirkan. Seumpama makan tiada siapa mengajaknya tetapi lantaran merasai betapa laparnya perut dan dahaga tekak maka pantas kita berfikir memenuhinya. Mencari dapur atau kedai makan. Tetapi bagaimana jika hati ini meronta-ronta inginkan penyampaian dan nasihat bimbingan? Apa yang kita lakukan?

Kita sama-sama bermuhasabah

Memilih teman yang membina

Kita sendiri mengakui sekiranya hidup keseorangan, maka hidup mudah sahaja terumbang ambing oleh badai jahiliyyah yang sering mencengkam urat nadi hati ini. Melihat akan urgensi ini, maka tiada pilihan lain melainkan untuk sama-sama membina diri menjadi teman yang soleh/soleheh dan jua mencari sahabat yang mampu membina peribadi ini. Yang mengingatkan tatkala terleka, yang menguatkan dikala dilambung kelemahan, yang menjadi contoh dalam segenap kehidupan.

Sahabat soleh itu perlu dicari, hidup bersama insan yang soleh maka kita akan turun merasai tempiasnya.

Benarlah kalam Umar Khattab R.Anhu.

“ Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.”

Khatimah

Post saya kali ini sekdar ingin mengingatkan saya akan cabaran IPT. Merasai tidak berapa kuat menempuhi alam ini menyebabakan diri ini memilih Kolej Teknologi Darulnaim sebagai teduhan pertama sebelum bergerak lebih jauh kehadapan. Moga Allah meredhai kita

p/s :maaflah tidak mengupdate blog agak lama.

Sunday, May 1, 2011

Pengalaman : Mukhayyam Dakhili 2011

Oleh : kalam-azimat


Mukhayyam Dakhili SMA 'Ibrah 2011

Muqadimah

“Attention!!!!”

“Sir!!!” peserta menyahutnya…

“Are you ready???”

“Yes Sir!!” laungan peserta penuh bertenaga..

“Silent!!!”

Serentak masing-masing jari telunjuk tangan sebelah kanan diletakkan betul-betul diatas bibir sambil berbunyi “Shhhhhhh”….

Taklimat ringkas sebelum mendirikan khemah

Begitulah laungan slogan perkhemahan yang telah berlangsung 2 minggu yang lalu iaitu pada 15/4/2011 sehingga 17/4/2011 bertempat di Sekolah Menengah Agama ‘Ibrah. Mukhayyam Dakhili atau ‘Perkhemahan Dalaman’ yang dianjurkan pihak sekolah ini walaupun dilaksanakan untuk para peserta kem yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 dan 2 putera dan puteri, tetapi saya yang telah diberi amanah menjadi kem komanden turut merasai Ibrahnya. Allah telah mengizinkan saya mengikuti dan mengendalikan pelbagai jenis program dan kem sebelum ini. Namun begitu, pengalaman perkhemahan kali ini tetap berbeza dan mengesani hati ini. Alhamdulilllah, sepanjang perkhemahan ini berlangsung, saya dapat sesuatu yang amat berharga.

Bermulanya sebuah perkhemahan

Tanggal 15 April 2011,hari Jumaat. Setelah selesai solat asar dan pembacaan Al-ma’thurat, saya mula me’mind setting’kan diri saya untuk ‘menukar’ jawatan daripada warden kepada kem komanden. Maka, ketika itu karakter dan watak saya akan terubah kepada lebih tegas dan sedikit garang. Penampilan pun perlu diubah sedikit supaya mereka dapat merasai kelainannya…

Peserta putra sedang bertungkus lumus mendirikan khemah

Para peserta mula mendirikan khemah di padang permainan mereka. Tergambar pada raut wajah mereka keceriaan dan kegembiraan untuk mengikuti perkhemahan ini. Setelah selesai mendirikan khemah, para peserta bersiap sedia untuk menyembah yang Maha Esa yakni solat maghrib. Seusai solat maghrib, peserta dikehendaki untuk duduk dalam kumpulan masing-masing dan bertilawah Al-Quran sesama mereka. Peluang untuk mereka mempelbetulkan bacaan diri sendiri, disamping menegur rakan lain yang tersasar bacaanya.

Peserta putri juga sedang berkerja keras dan bertenaga ketika mendirikan khemah

Kemudian, selepas Isya’ Majlis Perasmian program telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengelola (ALP) SMA ‘Ibrah iaitu En. Mohd Fauzi bin Othman.Setelah perkhemahan ini dirasmikan maka, saya mengambil peranan sebagai kem komanden untuk memberi sedikit taklimat. Taklimat ini sekitar penerangan tentang peraturan umum kem, perturan pemakaian, peraturan wisel dan sebagainya. Kemudian, tibalah masa team building. Saya mengarahkan mereka untuk mencari ketua kumpulan masing-masing, kemudian nama kumpulan, dan slogan kumpulan. Alhhamdulillah, mereka semua memberikan komitmen yang sewajanya.

Para peserta sedang mendengar ucapan perasmian dan taklimat perkhemahan

Bagi saya perkhemahan ini amat mencabar kerana saya menjadi Kem Komanden tanpa bantuan fasilitator. Alhamdulillah, guru-guru muda SMA ‘Ibrah yang turut serta dalam perkhemahan ini Ust Muhammad Syafiq bin Che Ani, Ust Faisol Husen , Cikgu Fazwan, Cikgu Hairun Nisa’ dan Ustazah Hidayah banyak membantu walaupun mereka bukan ditugaskan sebagai fasilitator. Saya amat-amat terharu. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa kalian.

Pengalaman berharga

Jika ingin diceritakan segalanya apa yang saya perolehi maka amatlah tidak mencukupi. Jadi, cukuplah beberapa perkara sahaja yg ingin disentuh. Allah izin ,saya belajar berkomunikasi insan yang jauh lebih berumur daripada saya. Bukan berinteraksi yang biasa-biasa. Tetapi berinteraksi dan berkomunikasi untuk berkerja!.Memang saya akui, sejak awal saya melangkah di sekolah ini pun saya harus membiasakan diri untuk berinteraksi dengan orang lebih berumur dengan saya. Umur pula memang boleh dikatakan agak jauh jaraknya. Saya baru menginjak 18 tahun. Guru yang paling muda 28 tahun umurnya. Wah, agak kekok juga ya. Itu belum lagi disentuh guru yang telah pencen bekerja disini dan staf sekolah. Tambahan pula, saya tidak ditemani oleh rakan seangkatan. Benar-benar memerlukan keserasian dalam masa singkat. Tanpa saya sedari , perkara ini telah melatih saya berfikir dengan lebih matang dan terkehadapan.

Berfikir umpama seseorang yang bergelar dewasa, atau rakan-rakan sebaya dengan ayah kita sendiri. Pada mulanya memang saya kekok, tetapi lama-kelamaan saya cuba juga untuk membiasakan diri dan akhirnya berjaya juga walau sisa-sisa kekekokan itu masih melekat. Ha, bersembang dengan rakan ayah kita macam kawan kita sendiri..Bagaimana agaknya ya! Itulah yang saya alami dan dalami.

Syabab sekalian!!!! Ayuh Maju kehadapan!!!

Saya juga diberi amanah untuk melatih kawad ketika perkhemahan sedang berjalan. Bukan pelajar lelaki sahaja. Malah peserta perempuan juga harus diperhatikan dan diajar satu per satu. Memang pengalaman baru, kerana sebelum ini tidak pernah mengajar lagi kawad melainkan pelajar SMK Bukit Gambir. Teknik yang perlu diajarkan juga harus berbeza caranya kerna lelaki dan perempuan berbeza kefahaman dan tindakannya. Berdasarkan amatan saya, peserta perempuan ini lebih cepat ‘tangkap’ apa yang diajarkan dalam kawad berbanding peserta lelaki. Hal ini kerana perkara yang saya ajar hampir satu jam itu kepada peserta perempuan sama dengan jumlah 3 jam bagi peserta lelaki. Dari segi kefahamn memang pelajar perempuan lebih cepat memahami .Alhamdulillah. Mungkin juga disebabkan senior mereka telah mempelajari asas kawad pada tahun lepas dengan Akhi Afdholul Rahman. Dari segi keserasian dan kemantapan memang berbeza. Lelaki lebih mantap! Itu memang tidak dapat dinafikan. Hehehe…(^_^)

Tidak ketinggalan untuk mengajar adik-adik putri tentang apa itu kawad

Biarpun begitu, saya ucapkan tahniah kepada semua adik-adik putera dan puteri SMA ‘Ibrah diatas komitmen, kesungguhan yang ditunjukkan. Semangat yang mencurah-curah membuatkan tubuhku terasa lesu kembali bertenaga. Syabas wahai adikku!!!

Awas!!!! ‘Zon Perang’

Pada pagi yang hening, hari Ahad,pada pukul 4 pagi, Suasana sunyi pada pagi itu sedikit terganggu dengan teriakan semangat jihad adik-adik Ibrah. Oh, rupanya ‘War Game’ sedang berlangsung. Enam kumpulan beradu tenaga. Matlamatnya ingin membebaskan tawanan yang telah ditawan. Hanya dibekalkan dengan 2 biji bom setiap orang ( 2 bungkus plastik berisi air). Saya dan beberapa orang guru bertindak menjadi pengadil mengadili setiap gamie yang berlangsung… Para peserta memasang strategi yang amat rapi disusun bagi memastikan kematian minima, dan mencapai kemenangan. Puteri pula, dibekalkan dengan sebatang lilin setiap seorang dalam medan pertempuran yang digelar ‘Candle War’. Masing-masing bersemangat untuk merebut takhta bergelar JOHAN…..di samping matlamat mardhotillah tidak diketepikan….Insya Allah…(maafla untuk ini tidak ada gambar pun yang ditangkap..)

Keserasian bertambah

Hubungan keakraban saya dan guru-guru yang lain semakin lama, semakin terasa bertambah. Malahan kami boleh bergurau dan bercanda sekali, terasa indah nikmat ukhwwah tidak mengenal umur dan pangkat. Kekadang bersembang rancak ketika makan. Saya dapat merasakan layanan guru-guru di sini bukan seperti saya yang berumur 18 tahun. Terasa saya umpama tidak akan sambung belajar pula selepas ini.Saya bahgia di sini biarpun beban kerja semakin jua makin bertambah!!!

Perasaan yang bergelojak dalam jiwa ini terhadap adik-adik Ibrah dan guru di sini, hanya Allah yang tahu… Daku sayang kalian kerana Allah. Mungkin bibir ini tidak pernah meluahkan rasa hati ini pada kalian tetapi, apa yang dilakukan semuanya kerna sayang pada kalian..Insya Allah.

Khatimah

Sekarang ini saya sedang menghitung-hitung hari yang telah dilalui bersama. Rupanya sudah genap 3 bulan saya berkampung di sini. Mengutip mutiara hikmah dan ‘ibrah’ di SMA ‘Ibrah…. Banyak pengalaman yang berharga yang saya dapat, tersurat dan tersirat. Saya memang tidak menyangka akan susunan Allah SWT ini kepada saya…

Maka saya amatlah meyedari akan hakikat firman Allah SWT kepada saya :

“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu ,padahal amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui..”

(Al-Baqarah 2:216)

Kepada teman saya, yang meminta saya menulis berkaitan dengan HiMEGA 2011. Insya Allah, jika diberikan kesempatan, saya akan nukilkan, tetapi bukan sekarang. Nantilah…saya perlukan kekuatan dan ‘sesuatu’ untuk menulis berkaitan tentang itu…..