..:: Cebisan Kenangan ::..

Thursday, April 7, 2011

Perkongsian : Wajah Yang Menyenangkan…

Oleh : kalam-azimat


‘Bukankah berpakaian kemas dan sopan itu idaman setiap insan’ picture by raphy of deviant art

Assalamualaikum, salam hormat daripada saya. Moga kalian, sidang pembaca sekalian berada di bawah lembayung rahmat Allah sentiasa dan mendapat pimpinan dan hidayah daripada Allah. Pada kesempatan ini juga saya mengajak untuk kita terus bersyukur dan bersyukur atas nikmat yang diberikan.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…….

Pada kali ini, saya berminat untuk membicarakan suatu topik yang kita semua pernah lalui. Tidak kira umur, pangkat dan darjat kedudukan. Semua insan pasti akan membicarakan hal ini meskipun skala perbincangan itu berbeza-beza. Ada yang menganggap perkara ini remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Tetapi ada juga yang merasakan perkara ini amat besar dan perlu dititikberatkan dalam diri dan masyarakat.

Apakah perkara itu?

Apabila terbaca tajuk yang tertera di atas. Apa yang anda bayangkan? Ya, tajuknya adalah wajah yang menyenangkan. Adakah anda sedang terbayangkan wajah seorang wanita yang putih debu serta putih melepak? Atau juga wajah lelaki kacak dengan bergaya ala-ala pelakon barat? Atau wajah bayi yang masih kecil dalam buaian, yang sedang tidur enak dibuai mimpi. Apakah yang anda fikirkan?

Tidak mengapa dan tidak perlu menjawab. Kerana persoalan itu akan terjawab selepas ini.

Insya Allah…..Apakah niat sebenar saya menulis perkara ini?

Muqadimah

Perasankah kita dalam menjalani kehidupan sebagai manusia, kita akan jumpa pelbagai jenis manusia terutama sekali pabila tiba di kota raya yang sesak. Pelbagai jenis fesyen dan warna menyelimuti tubuh manusia serta berpakaian yang pelbagai status. Ada segelintir remaja wanita yang sanggup meminjam baju adiknya dengan memakai baju t-shirt bersaiz ‘S’. Tidak kurang juga yang yang sentiasa ingin berpakaian ‘feet’ walaupun bukan di kolam renang. Macam-macam kerenah dalam bab berpakaian. Itu tidak disentuh lagi tentang fesyen rambut yang pelbagai aneka warna dan ragam. Terpacak ke setiap penjuru, panjang terburai ke sana-sini dan macam-macam lagilah. Saya pasti anda lebih mengetahui daripada saya akan hal ini.

Kenapa saya sentuh akan hal ini? Adakah perkara ini ada berkaitan dengan wajah?

Menarik soalan itu…….

Baiklah, perhatikan gambar lelaki di atas ini. Jikalau anda bertemu dengannya, apakah persepsi anda terhadap dirinya? Saya bagi anda pilihan dan anda jawab dengan jujur pada diri.

PILIHAN A

“Dia ini adalah seorang yang waras dan baik. Suka membantu orang andainya ditimpa kesusahan. Dia berkeadaan begitu setelah penat membuat kerja. Dia adalah seorang yang perihatin bertanggungjawab dan berwawasan”

ATAU

PILIHAN B

“Dia ini adalah orang yang suka melakukan perkara yang tidak senonoh. Seorang yang pengotor dan tidak hiraukan orang lain. Suka melepak atau merempat di kaki lima. Kemungkinan dia ini penghidu gam dan juga menagih dadah”

Jadi anda lihat gambar berkenaan dan berikan jawapan pada diri anda. Jawapan manakah yang anda pilih. Saya pasti hampir 90% mengakui jawapan pilihan yang kedua amat sesuai dengannya. Benarkan?

Jika anda tidak bersetuju. Terpulanglah kepada anda. Dan saya dapat rasakan ketidaksetujuan anda itu disebabkan anda tidak benar-benar jujur dan tulus daripada hati anda.

Pakaian cerminan wajah manusia

Suatu hakikat yang tidak boleh kita lari adalah pandangan manusia itu sendiri terhadap apa yang kita pakai. Selalu ada yang kurang setuju dengan pendapat saya ini membalas kembali dengan ungkapan tersohor dalam bahasa Inggeris

“Come on la bro, don’t judge the book by its cover”

“Ala, mana boleh tengok luaran ja. Hati baik tau”

Baiklah, kepada yang berkata seperti ini saya ingin bawakan sepotong hadis mudah-mudahan kita boleh tersedar atas kesilapan dalam mentafsir ini.

“Iman bukanlah suatu angan-angan, atau

pun cita-cita, tetapi ianya tersemat di hati dan dibuktikan melalui amalan”

(HR Muttafaqun ‘Alaih)

Apa yang telah diterbitkan melalui amalan sudah semestinya menjadi neraca nilaian manusia. Itulah hakikatnya. Anggapan don’t judge the book by its cover hanya itu untuk buku sahaja relevan ya!. Jangan sesekali mengaitkan dengan manusia. Langsung tidak sesuai.

Pilihan buat Muslimah

Saya bagi dua pilihan dan pilih mana yang terbaik memikat hati anda.

Yang mana satukah wajah yang menyenangkan dan sejuk mata memandang?

Pada kali ini, saya tidaklah berniat untuk mengeluarkan dalil hadis dan nas al-quran berkaitan ini. Tetapi saya ingin melihat tentang fitrah manusia itu sendiri bagaimana. Dan sememangnya fitrah manusia itu pada asalnya suci dan bersih. Jawablah dengan naluri hati kita. Bukan nafsu yang dihiasi oleh mainan syaitan semata. Anda tidak perlu jawab pada diri saya atau sesiapa pun. Jawablah pada diri sendiri…Buatlah nilaian yang tepat

Mahu orang melihat kita bagaimana?

Wahai lelaki, adakah mahu orang lain melebel kita sebagai pengemis dijalanan kerna berpakaian comot. Adakah mahu orang lain cop kita sebagai insan tidak berpendidikan. Adakah mahu semua orang memandang negatif dan tidak selesa dengan kita?Atau memang plihan anda begitu?

Dan adakah perlu malu untuk berpakaian segak dan kemas? Sedangkan itu adalah anjuran Rasulullah sendiri kepada lelaki!

Wahai wanita, adakah mahu dilabel wanita tidak bermaruah kerana sering sahaja menjolok mata lelaki lain? Adakah mahu dicop wanita peleseran hanya kerna bab berpakaian sahaja? Adakah mahu masyarakat memandang serong dan jelek terhadap anda? Atau memang pilihan anda begitu?

Dan adakah perlu segan untuk berpakaian manis, sopan dan menutup aurat? Sedangkan itulah galakan Rasulullah sendiri kepada wanita!

Khatimah

Sungguh, bukanlah niat saya ingin mencela atau menuduh sembarangan. Tetapi untuk memperingatkan supaya kita dapat memberi aspresi wajah yang menyenangkan. Bukankah pakaian itu sebahagian daripada wajah kita?

Cuba perhatikan kepada diri kita sendiri, saya dan diri anda. Pakaian apa kita pakai!!!!….

Ayuh, perkemaskan diri, perkasakan identiti…..

Wednesday, April 6, 2011

..:: Hikmah Sakit ::..

Oleh : Mutiara Wakafan
Ujian itu meningkatkan IMAN bagi yang positif kepada Allah.

                Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk bertemu di dalam post yang seterusnya. Sebenarnya tanpa kita sedari, pelbagai nikmat telah kita perolehi sepanjang kita hidup di atas muka bumi ini. Nikmat kesihatan dan pelbagai lagi nikmat yang tak mampu untuk kita hitung. Nikmat hanya mampu dinilai oleh orang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut telah hilang.
                Apabila nikmat tersebut telah hilang, maka Tuhan akan dipersalahkan. Dan mungkin ianya juga dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada solah di awal waktu.
                Hari ini Allah telah mencabut sedikit nikmat kesihatan daripada saya. Ketika inilah, kita dinilai, adakah kita mampu untuk bersangka baik dengan Allah.

Dalam ujian terselit 1001 hikmah yang tidak kita ketahui.

Sakit Mampu ‘Mengusir’ Dosa Pada Diri

                Sebuah hadis riwayat Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“ Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujjian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya”
                Nah!
                Sudah jelas lagikan bersuluh. Ujian yang diberikan oleh Allah kepada kita mampu menghapuskan dosa sekiranya kita menerima ujian itu sebagai ujian untuk menilai diri kita.
                Saya teringat kisah, dimana terdapat tiga pemuda yang diuji oleh Allah dengan penyakit. Si Botak dengan penyakit botaknya, Si Buta dengan penyakit butanya, dan Si Kusta dengan penyakit kustanya.
                Apabila mereka disembuhkan oleh Allah dan dikurniakan binatang peliharaan masing-masing, kehidupan mereka telah berubah seluruhnya, jika dulu mereka miskin dan dipandang hina oleh masyarakat. Kini, mereka tidak lagi begitu, sebaliknya mereka di pandang tinggi oleh masyarakat.
                Namun, semuanya berakhir apabila Allah mengutuskan malaikat untuk menguji sejauh manakah hubungan mereka dengan Allah. Akhirnya, Si Botak dan Si Kusta dimurkai Allah kerana mereka melupakan Allah setelah diberi kenikmatan. Sebaliknya, Allah meredhai Si Buta kerana dia memandang nikmat dan ujian yang diperolehnya adalah untuk menguji dirinya.
                Bukankah peribadi sebegini yang kita impikan dalam segenap kehidupan kita?
                Sentiasa Husnuzon (bersangka baik) dengan Allah.
Apabila cubaan dan ujian menimpa orang yang kuat hubungannya dengan Allah , lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda cinta dan kasih daripada Allah.
                Ayuh kita memandang setiap ujian yang diberikan dari sudut yang positif!

Khatimah
                Janganlah kita bersedih hati pabila ditimpa ujian yang berat. Sebaliknya, marilah kita mengambil peluang ujian itu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Mungkin dengan ujian itu kita mampu memiliki kedudukan disisi Allah yang tak mampu di raih oleh amal ibadah yang lain.
                Semoga kita mampu menjadi hamba yang sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dan semoga kita berada di antara kedudukan disisi Allah.



                

Tuesday, April 5, 2011

Perkongsian : Fenomena Remaja Hari Ini



Oleh : kalam-azimat




"Kebanyakan ramai pihak pening apabila memikirkan masalah remaja. Termasuklah remaja!" picture of deviant art by someone12
Muqadimah

Mata yang dianugerahkan oleh Allah SWT sememangnya mampu untuk menilai dan mengenalpasti tidak tanduk dan sikap manusia. Selalunya mata ini jugalah yang melihat dan menafsir tingkah laku manusia. Dan mata ini jugalah yang akan memerhatikan pelbagai peringkat umur dan bangsa. Dengan memerhatikan, kita dapat mengagak sifat yang terdapat pada diri seseorang meskipun kurang tepat tetapi tidak pula jauh tersasar. Sungguh, mata mampu mentafsir dan menilai berpandukan akal fikiran yang cerdas.

Mata ini juga memerhatikan gelagat manusia bernama remaja dan belia. Memerhatikan telatah remaja apabila bergaul dengan rakan. Menyaksikan sikap remaja apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua. Memandang remaja apabila berhadapan dengan persekitaran. Memantau gerak geri remaja apabila kemudahan ICT berada di hujung jari. Apa yang remaja akan lakukan agaknya. Anda juga ada mata bukan? Maka anda juga boleh menjawab denghan mata hati anda.

Tanggapan Masyarakat terhadap Remaja

Jika diperhatikan, segala jenis jenayah atau kes-kes juvana biasanya akan terpalit pada diri remaja. Masyarakat pula terutamanya golongan dewasa kelihatan sering memandang serong dan negatif kepada remaja. Apa sahaja remaja lakukan, melaksanakan sesuatu aktiviti pasti akan tergambar persepsi yang buruk terhadap remaja. Disebabkan saya ini adalah remaja, maka saya turut merasai tempiasnya.

Contohnya, sekiranya ada penunggang motosikal remaja sedang menunggang motosikal secara beramai-ramai di jalan raya maka masyarakat akan beranggapan bahwa inilah golongan mat rempit yang akan membuat pelumbaan haram. Padahal mereka mungkin sahaja dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat!

Sekiranya terdapat ramai remaja berpusu-pusu ke shopping complex. Maka masyarakat mula akan beranggapan bahwa inilah remaja yang akan ke cyber café dan menghabiskan masa berjam-jam dengan bermain computer game. Padahal mereka sedang mencari barang harian dan keperluan mereka!

Sekiranya ramai remaja sedang berkumpul ramai-ramai di sesuatu lokasi. Maka masyarakat akan beranggapan bahwa inilah geng kongsi gelap atau gangster yang akan melakukan kekacauan dan keributan. Membuat jenayah dan kerosakan. Padahal mungkin sahaja mereka berkumpul untuk melaksanakan perniagaan yang halal!

Dapatkah kita perhatikan apakah nilai pandangan masyarakat terhadap kita wahai remaja.
Tetapi saya juga akui, peratusan yang positif yang saya sebutkan tadi amatlah sedikit. Kebanyakan anggapan remaja yang bersifat negaitf itu selalunya benar dan tidak tersasar. Hal inilah yang merungsingkan kita semua. Suatu persoalan tertimbul dalam benak saya.

Bilakah tanggapan negatif ini akan berakhir?

Ya, wahai remaja sekalian. Bilakah tanggapan yang memburukkan imej kita sebagai belia negara akan berakhir. Bilakah persepsi negatif ini akan tamat? Bilakah datangnya hari dimana kebaikan itu bermula daripada remaja? Bilakah semua ini akan berakhir?

Khatimah

Saya teringat kata-kata yang masyhur daripada seorang tokoh ulama’ yang tersohor ;

“Jika kamu ingin melihat sesebuah negara pada masa hadapan. Maka lihatlah kepada pemudanya pada hari ini.”
(Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi)

Pernyatannya itu amat tepat dan menyentap hati saya.Ya, pemuda pada hari ini. Bagaimana corak kegemilangan Negara pada masa akan datang, akan ditentukan kepada pemuda pada hari ini. pemimpin sekarang akan tidak selamanya di atas kerusi mereka. Tampuk kepimpinan akan bertukat tangan. Dan pastinya akan diambil alih oleh remaja pada hari ini. Bagaimana keadaan Negara yang tercinta pada 20, 30 tahun akan datang? Adakah akan terus harmoni atau bagaimana?

Mampukah remaja yang hanyut dalam dunia fantasi hendonisme mampu memimpin negara? Mampukah ramaja yang tenggalam dalam khayalan gam dan dadah memimpin Negara?
Mampukah remaja yang menjadikan lebuh raya awam sebagai litar lumba ingin memimpin Negara?

Kenapa saya highlightkan kepada golongan ini?

Kerana mereka inilah golongan remaja yang mempunyai jumlah yang sangat besar.

Saya sungguh risau dan cemas akan hal ini. Ayuh, remaja sekalian. Yang mempunyai kesedaran akan hakikat ini. Ayuh kita bangun dan bergerak. Mencorakkan Islam dalam keperibadian setiap remaja kita.

Ayuh, sekarang tersedarlah kita daripada lena.

Ayuh, terus bergerak!!!!

Monday, April 4, 2011

..:: Alangkah Indahnya Jika Menjadi "Air" ::..

'Titisan' kesabaran mampu memadamkan 'lautan' api ~ picture by mjagiellicz of deviant art

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Anda semua apa khabar?
Harapnya, semoga anda sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan sejahtera, walaupun ada segelintir dalam kalangan yang diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian. Antaranya, banjir, Tsunami, dan sebagainya.

Ketahuilah, setiap ujian yang diberikan oleh Allah kepada kita pasti terselit 1001 hikmah disebaliknya. Dan setiap manusia tidak terlepas dari diuji oleh Allah.

"...Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (-Surah Al-Ankabut ayat 2-3) ..


Justeru, orang yang berjaya ialah orang yang bersabar walaupun dihujani dengan pelbagai ujian.


Pabila Ego Menguasai Hati


Saudara & Saudari, Sidang pembaca Yang saya kagumi,

Baru-baru ini, Allah telah beri kesempatan kepada saya untuk menjayakan Program Sahsiah Terpuji dan Akademik Cemerlang (PROSTAC) yang telah berlangsung di Sekolah Rendah Ummi (SeRU) selama 2 hari 1 malam.

Alhamdulillah pelbagai pengalaman yang telah saya dapat. Namun, bukan itu yang ingin saya kongsikan kepada anda untuk artikel kali ini.

Sebaliknya, saya ingin kongsikan kepada anda tentang sikap anak muda hari ini kepada orang yang lebih dewasa.

ketika didalam bas, seorang wanita telah ditegur oleh pemandu bas memandangkan wanita tersebut duduk diatas tangga.

Wanita tadi lantas bangun lalu memaki hamun pemandu tadi dengan lagaknya.

"... habis saya nak dok mana..???"
"... stupid, dasar orang tak dak pendidikan..!!!"

Wanita tadi berkeras dengan tindakannya. Malah Pemandu tersebut juga melawan dan berlaku sedikit pertelingkahan.

Akibat dari insiden tadi, pemandu terbabit melambatkan perjalanan bas yang sepatutnya berjalan pada jam 06.45ptg kepada 07.15mlm.

Nah!
Adakah betul tindakan wanita tadi?

Anda tahu jawapannya...

Alangkah indahnya jika ada yang bertolak-ansur. 
yang sanggup menjadi 'air' bagi memadamkan 'api' yang marak.

Kerana kita seorang, membuatkan ramai yang turut terkena tempiasnya.

Khatimah

'Api' hanya mampu dipadamkan dengan 'air'. 

 kemaafan itu indah dan menyenangkan akhirnya melahirkan rasa Kasih dan Mahabbah.

"...Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu kasih kepada saudaramu sebagaimana kamu kasih kepada diri kamu sendiri..."

Sunday, April 3, 2011

Perkongsian : Ujian!!! Kenapa datang kepadaku?

“Usah dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah jiwa yang kental untuk menghadapinya”


Suatu ketika, saya rasa terdetik untuk membelek majalah batch saya. Majalah yang diberi nama R:16N Ketika sedang asyik meneliti satu persatu, helaian demi helaian. Saya terlihat kepada satu kata-kata yang amat menyentuh jiwa saya.

“Usah dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah jiwa yang kental untuk menghadapinya”

Saya terduduk seketika sambil berfikir sejenak. Memikirkan adakah releven pernyataan tersebut. Kemudian, saya tersenyum sendirian tanda mengerti maksud yang terkandung dalam kata-kata itu. Sambil mata mula memandang. Ehmmm, bagaimana pandangan kita tentang UJIAN…???

Muqadimah

Dalam melayari bahtera kehidupan ini, setiap manusia pasti tidak dapat lari daripada menghadapi mehnah dan tibulasi kehidupan. Cabaran dan dugaan sering menghimpit kita sehinggakan merasakan mentari tidak lagi akan memancarkan cahayanya. Memberi ketengan dan kebahagiaan. Kekecewaan pula sering mengisi kantong hati dengan mendung kepasrahan yang tidak menampakkan ruang kembali bercahaya..

Sungguh, manusia ini sentiasa akan diuji dengan pelbagai ujian, warna, citra, dan situasi. Tetapi sedarkah kita bahwa seluruh kehidupan merupakan ujian daripada Allah untuk melayakkan kita merebut matlamat utama! Mardhotillah!(Keredhaan Allah SWT)!!!!...
2 jenis ujian….

Tanpa disedari dalam kehidupan seharian, sebenarnya kita telah dilanda dengan dua jenis ujian yang berbeza coraknya tetapi matlamatnya tetap sama. Pabila disebut ujian, pasti yang tergambar dalam kotak pemikiran kita adalah kesusahan, penderitaan, kesengsaraan, kematian, kegagalan dan sebagainya. Ya, memang semua itu dalah ujian. Tetapi ada satu lagi ujian yang harus kita ketahui juga. Kerna ujian ini kita kurang menyedarinya, malah kita tidak menganggap ianyasebagai ujian.

Itulah segala macam bentuk kemewahan, kesenangan, kejayaan, pangkat dan harta, selamat, aman dan harmoni. Ya, ini juga adalah ujian. Tetapi, tahukah kita semua. Kebanyakan makhluk bergelar insan ini mudah tewas pada ujian yang kedua ini. Kerna disinilah Allah SWT sedang menguji tahap bersyukurnya manusia itu.
Ujian Kesengsaraan…

Apabila Allah datangkan ujian ini kepada kita. Maka ketika inilah Allah sedang menegur hambanya agar kembali mengingatinya, kembali merapatkan hubungan dengan Maha Pencipta. Mengajak hambaNya. untuk kembali mengagungkan Allah SWT. Pabila ditimba bencana, malapetaka, kematian, lantas ketika inilah kita mula mencari Allah. Mula menghitung-hitung betapa beratnya mnghadapi dugaan hidup. Maka ketika inilah, hati yang ego menggunung mula menjadi jinak, hati yang keras mula menjadi cair, dan transformasi seorang hamba kan berlaku. Menjadi lebih baik dan sempurna dari dahulu.

Maka tidakkah diperhatikan bahwa ujian untuk kebaikan kita juga?

Ujian kemewahan…..

Apabila Allah SWT datangkan pula ujian ini kepada kita. Apakah reaksi kita? Adakah ketaatan itu bertambah? Ataupun segala jenis perhubungan dengannya mula terhakis sedikit demi sedikit? Memang sepatutnya pabila kesenangan dilimpahkan maka hubungan dengan Allah akan terus mekar.Tetapi adakah ini yang berlaku kepada masyarakat kita mutakhir kini? Apa yang diperhatikan…

Apabila rumah yang dahulunya satu tingkat sudah berubah menjadi umpama istana kayangan, kereta dahulunya ala-ala Mr.Bean berubah menjadi Porche mahupun Mercedez.Adakah ketika itu kita lebih sayangkan Allah ataupun harta berkenaan? Tidakkah kita memerhatikan akan bahayanya ujian kemewahan ini?

Matlamat ujian….


Allah SWT menguji manusia kerna ingin menduga bagaimana iman seseorang individu. Bukan kerana benci atau murka kepada hambanya. Hal ni selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut, ayat 1-3, maksudnya :

“Alif Lam Mim,(1), Apakah manusia itu mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya mengatakan, “ kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?(2). Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta”

Ya, itulah tujuan Allah menguji manusia. Allah SWT ingin melihat bagaimana iman seseorang individu yang bergelar hamba.

Khatimah

Pada saat ini, saya mula nampak akan komunikasi manusia dengan Pencipta melalui jalan yang sukar dipanggil ujian ini. Hakikatnya, Allah menyayangi hambanya lantas diberikan ujian untuk mengingatkan kepada yang insan terlupa. Begitulah, indahnya kasih sayang Allah kepada hambanya.

Maka tidakkah kita perhatikan?

Saturday, March 26, 2011

Hubungi Kami


Jika anda ingin berkongsi komentar atau sesuatu pihak kami mengalu-alukannya berbuat demikian terus ke email kami. InsyaAllah

>Mohammad Azhar Hilmi bin Mohamad Fadzil
prof_azhar92@yahoo.com.my

> Umar Hanif bin Jamalludin
arifjr_93@yahoo.com

>Muhammad Ikhwan b. Mohd Nasri
ikhwan.nasri@rocketmail.com

>Muhammad Suhaib b. Ahmad Zahir
acher_adept_shoots@yahoo.com

segala perkongsian, cadangan, komen, atau kritikan yang membina pihak kami mengucapkan
Jazakumullahu khairan kathira..
dan sekiranya anda memerlukan khidmat nasihat atau bimbingan, anda juga bolehlah mengemelkannya kepada kami.

Wednesday, March 2, 2011

Syarahan Agama : Ukhwah Mantap, Umat Tegak


Ada seorang sahabat minta ana tolong buat sedikit teks syarahan untuk sekolah rendah. Ana sudah cuba send guna email tapi ada problem la pulak. Jadi atas faktor kesuntukan masa. ana guna blog ini sebagai wasilah perantaraan. Jadi pengunjung yang lain boleh juga menilai.

‘Ukhwah mantap, Ummat hebat’

Auzubillahi………

Bismillahirahmanirrahim………

Alhamdulillahirabil’alamin….

Kalungan aspresiasi buat saudara/I nakhoda majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru pendidik anak bangsa, seterusnya sidang hadirin , umat Muhammad sekalian….

Assalamualikum warahmatullahi wabrakatuh….

‘Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirnya sendiri.”

Justeru, tampillah saya ke podium keramat ini bagi melakarkan maudhu’

‘Ukhwah Mantap, Ummat Tegak’

‘Ukhwah Mantap Menjamin Keunggulan/Keutuhan Ummat’

(ada 2 cadangan utk tajuk)

Lantas, sebelum terus laju saya menjengah ke gelanggang, molek kiranya jika definisi tajuk saya huraikan..

Ukhwah asal perkataan arab diterjemahkan membawa maksud persaudaraan,

Mantap pula sinonim dengan hebat, unggul dan cemerlang,

Ummat merujuk kepada suatu kelompok masyarakat yang besar,

Tegak menjunjung erti kukuh dan stabil….

Secara totalnya, tajuk ini membicarakan tentang persaudaraan yang unggul akan membina sebuah masyarakat yang kukuh lagi utuh.

Sidang hadirin warga dewan sekalian,

Meneliti elemen saya yang pertama,

Ukhwah memupuk perpaduan mapan

Perpaduan merujuk kepada interaksi dan komunikasi yang baik dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Nilai perpaduan ini hanya dapat diwujudkan pabila persaudaraan timbul dalam jiwa dan minda setiap anggota masyarakat. Hakikatnya, perpaduan amat penting dalam kehidupan. Ia diperlukan untuk menumbangkan kepimpinan yang zalim seperti yang diterjemahkan di Mesir. Tahukah kalian, perpaduan yang kukuh ini diperolehi melalui ikatan ukhwah yang erat. Perssaudaraan sesama muslim ibarat sekujur tubuh, jika kulit merasa sakit, mata mengalirkan air, mulut mengaduh sakit, dan seluruh anggota memberi sokongan. Nah, inilah natijah yang melahirkan perpaduan yang diidamkan setiap insan.

Benarlah firman Allah dalam surah ……

Elemen saya yang kedua,

Ukhwah menjana mahabbah

Mahabbah atau kasih sayang amat diperlukan oleh manusia. Cinta dan manusia tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Mana mungkin dapat hidup bahagia jika kasih sayang dan cinta tidak dipupuk. Ukhwah yang diimpikan tanpa cinta kasih sayang hanyalah angan-angan kosong.

Sabda Rasulullah :

‘Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirnya sendiri.”(Riwayat malik)

Al Hasil, persaudaraan membuahkan kecintaan sesama manusia.

Sidang penonton penuh santun,

Elemen saya yang ketiga,

Ukhwah Pemangkin Generasi Intelektual

Pernah kalian tahu penah wujud suatu generasi ayng merubah corak peradaban dunia. Dengan menggunakan intelektual yang mereka miliki menyinari alam buana ini daripada kerosakan kepada sejahtera. Merekalah sahabat seperjuangan rasul yang memberi impak kepada dunia. Membangunkan yang tidur, mencelikkan yang buta. Lihatlah, tertubuhnya institusi pendidikan Baghdad yang menjadi pusat rujukan ilmuan dunia ketika era pemetintahan Abbasiyah. Ketahuilah bahawa, kunci mereka Berjaya melakarkan kejayaan adalah kerna ukhwah yang utuh dalam kalangab mereka menjadikan intelektual nadi kehidupan.

Sabda junjungan mulia,

“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim”

Justeru, ukhwah dijaga intelek terjana.

Elemen saya yang terakhir,

Ikatan ukhwah pencorak kegemilangan Negara

Jika disoroti kembali lembaran sejarah dahulu kala. Ketika Islam mula berkembang. Perhatikan bagaimana Negara Madinah yang baru sahaja dibina mampu membuka mata dunia dengan memacu kegemilangan. Gandingan bahu mambahu antara rakyat dengan pemerintah di atas landasan akidah yang benar membentuk sebuah Negara yang berdaulat. Inilah natijah, ukhwah yang ditanamkan di dada setiap individu rakyatnya yang mementingkan persaudaraan, memerangi kesukuan lantas membentuk daulah islamiyah yang tersergam indah.

Maka, benarlah firman Allah SWT dalam/ sabda nabi Muhammad….

Lantas, semangat kekitaan yang padu menjamin ketabilan dan keharmonian Negara.

Akhir kalam, dengan mengambil keempat-empat hujah saya sebentar tadi. Maka dapatlah diduksikan bahawa Ukhwah yang mantap dapat menjana peribadi umat kelas pertama yang kukuh.

Konklusinya :

1.Ukhwah memupuk perpaduan mapan

2.Ukhwah menjana mahabbah

3.Ukhwah Pemangkin Generasi Intelektual

4.Ikatan ukhwah pencorak kegemilangan Negara

Sekian, yang baik datang daripada Allah yang lemah dan kurang datang daripada saya, hamba yang hina lagi dhaif.

Wabillahitaufiq………………………Perwakilan Al-Hilal mengundur diri….

(tidak lengkap, harus ada penambahbaikkan)

Saturday, February 19, 2011

Pengalaman : Diari seorang warden

Warden dan asrama tidak boleh dipisahkan- pic by ready2errupt of deviant art

Oleh : kalam-azimat

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi yang masih lagi membekalkan nyawa untuk memberi peluang dan ruang untuk hambaNYA terus bertaubat. Alhamdulillah juga dipanjatkan kepada Allah Tuhan semesta alam kerana hanya dengan keizinanNYA saya mampu untuk menukilkan sesuatu pada blog ini. Sungguh sudah lama saya tidak meningglkan jejak di sini. Pertama sekali saya ingin memohon ribuan kemaafan kepada pembaca blog ini. Sebenarnya, sudah hampir tiga minggu saya tidak mampu berbuat apa-apa pada blog ini. Bukan sengaja, tetapi disebabkan susunan masa yang Allah berikan kepada saya amat menyulitkan saya untuk membuka internet. Tambahan pula amanah yang diberikan juga bertambah menyebabkan saya tidak ada masa untuk melakukannya.

MUQADIMAH

Sebelum SPM melabuhkan tirainya, saya telah dipelawa oleh sahabat saya sendiri untuk memberikan khidmat mengajar kepada pelajar sekolah rendah. Seramai 6 orang guru tambahan telah dijemput untuk menjadi tenaga pengajar termasuklah saya. Semuanya sebaya dengan saya bahkan rakan sekelas dengan saya. Memandangkan ketika itu saya merasakan banyak masa kosong saya selepas SPM nanti. Saya menerima perlawaan itu.

Banyak mulut yang menyatakan tarikh mula masuk ke IPT ialah pada bulan 9. Terlalu panjang masa itu. Untuk memaksimakan manfaat pada diri ini. Maka tanpa berfikir panjang saya menerima perlawaan itu. Menerima tawaran untuk mengajar di Sekolah Rendah Attoyyibah, Changlun. Maka telah saya setkan dalam minda sya ini untuk mengajar disana selepas selesai SPM dan Kursus Jatidiri. Saya bersedia untuk menghadapinya.

Kemana saya menghilang sepanjang waktu itu?

Tempoh 3 minggu hingga hampir sebulan saya langsung tidak menyentuh blog ini. Membiarkannya diteruskan oleh sahabat seperjuangan saya Azhar Hilmi(mutiara-wakafan) dalam medan ini. Saya sepi sendiri dalam alam maya ini. Kenapa jadi begitu ya?. Sebenarnya saya telah menerima tawaran pekerjaan untuk mnejadi warden di Sekolah Menengah Agama ‘Ibrah terletak di Tanjung Putus, Pulau Pinang. Dalam pejabat warden berkenaan ada komputer tetapi tiada internet mahupun broadband.

Lagipun saya masih kekurangan wang untuk memilikinya sendiri. Masih memerlukan waktu untuk itu. Maka sepanjang tiga minggu berada di sana saya tidak online jauh sekali berblogging. Kerja pula bermula petang hingga malam. Menariknya pada kali ni, saya cuba berkongsi bagaimana saya boleh ‘terjebak’ dalam bidang pekerjaan ini.

Mendapat 2 pilihan…

Setelah selesai SPM, saya dan sahabat-sahabat yang lain mula mengikuri Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2010/2011(JDK 2010/2011). Saya ada kongsikan pengalaman saya di dalam post yang lepas. Tetapi nampaknya masih belum selesai perkongsiannya. Maka berilah saya masa untuk menyelesaikannya. InsyaAllah moga Allah beri kekuatan dan permudahkan urusan hidup saya. Doa kalian juga amat diperlukan.

Baiklah, kembali kepada cerita saya sebentar tadi. Setelah selesai Kusus JDK itu. Saya pulang ke rumah(Pulau Pinang) dan berehat sementara menunggu masa yang berbaki untuk ke sana. Sekolah Rendah Agama Attoyibah, Changlun. Pada saat dan ketika itulah datang berita yang amat mengejutkan saya. Tiba-tiba abah saya menelefon dan memaklumkan bahwa ada sekolah lain yang masih belum mempunyai warden dan amat memerlukan bantuan untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) ‘Ibrah yang terletak di Tanjung Putus, Permatang Pauh, Pulau Pinang. Saya jadi kaget sbentar. Apakah perlu saya buat?

Adakah saya perlu menolak tawaran menjadi warden di Skolah Menengah Agama ‘Ibrah dan menerima sahaja tawaran di sekolah Attoyyibah itu. Ada yang berpendapat kena tolak untuk menjadi warden di ‘Ibrah kerana harus mengutamakan tawaran yang pertama. Harus menghormati keputusan yang pernah diputuskan dahulu. Tetapi masalahnya harus dilihat kepada priority atau keutamaan. Sekolah Ibrah langsung tiada warden sepenuh masa manakala Attoiyibah pula sudah mempunyai lima orang guru tambahan. Iaitu sahabat-sahabat saya sendiri. Jadi pada pendapat anda?

Apa yang harus saya lakukan untuk masalah menyelesaikan masalah ini. Saya jadi berat untuk meningglkan Attoiyibah memandangkan telah terlebih dahulu mendapat tawaran. Lagipun saya ada sahabat-sahabat saya di sana yang boleh saya mengecaj iman ini bersama mereka . Dalam masa yang saya rasa tidak sampai hati untuk meminggirkan tawaran Ibrah itu melihat kepada kekurangan tenaga penggerak sekolah itu. Sungguh, saya berada ditengah-tengah persimpangan jalan ketika itu. Maka harus saya buat?

Dengan segala tekad dan membara serta mendaptkan nasihat daripada insan-insan yang rapat denganku maka saya telah membuat keputusan yang meletakkan saya di mana saya berada sekarang. Ya, saya sekarang telah bergelar seorang warden di SMA Ibrah. Rupa-rupanya banyak hikmah yang telah saya peroleh di sebalik peng’hijrah’an saya ini.

Sungguh, saya tidak menyangka susunan Allah itu memberi impak besar kepada diri saya sendiri. Menyebabkan saya belajar banyak berdikari, bagaimana berkomunikasi dengan veteran. Menimba 1001 pengalaman, suka duka dan pahit manis di sini.Ingin saya berkongsi dengan anda pegalaman saya sepanjang menjadi warden. Bukannya pekerjaan biasa. Tetapi luar biasa bagi saya kerana ingin membawa semua pelajarnya menjadikan asrama itu sebagai mihrab ilallah.

Bukankah sukar tugas itu?

Melalui jawatan inilah saya mula memahami jiwa dan perasaan hati seorang murobbi dan warden yang amat saya segani, yakni Ust Mahadzir Bin Mohamad. Beliau merupakan ketua warden dan guru yang sedang menjalankan tanggungjawabnya di Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah, Beseri Perlis. Tempat saya mula mengenali apakah itu makna sebenar Dakwah dan Tarbiyah dalam erti kata yang sebenarnya. Beliau amat saya segani. Boleh dikatakan beliaulah tempat saya jadikan contoh sepanjang menjadi warden ini. Saya cuba sedaya upaya dan semaksima yang boleh.

Di tanjung Putus ini juga, aya mula belajar bagaimana harus dikorbankan masa yang ada untuk orang lain. Saya mula nampak kesulitan apabila seorang warden berasa amat penat tetapi tidak boleh leka walau seketika. Harus sentiasa peka dengan persekitaran dan sentiasa bersiap-siaga akan apa-apa perkara yang tidak diingini akan berlaku. Tidak kira waktu, hatta waktu rehat malam pun harus dikorbankan untuk memastikan kesemuanya dalam keadaaan baik.

Saya juga belajar bagaimana untuk menghadapi kerenah ibu bapa yang pelbagai. Kebanyakan ibu bapa atau waris yang datang mengabil anaknya setakat ini amatlah baik. Tidak ada masalah yang berat bagiku. Cuma perkara yang patut untuk dipelajari setakat ini rasanya adalah bagaimana untuk memujuk kerana perkara tersebut amatlah sukar bagi saya. Pelajar yang manja dan suka kepada perhatian. Ha, bagaimana mahu menghadapinya. Bagaimana ingin mengimbang perhatian kepada mereka semua. Semuanya iu harus dilakukan berseorangan. Pada waktu persekolahn seang berjalan, saya tidaklah kisahkan sangat tetapi ketika guru-guru sudah tamat pembelajarannya. Maka ketika itu tugas dan tanggungjawab sebagai waren pula harus dilaksanakan.

Bukan setakat warden…

Satu lagi perkara yang harus saya pelajari ialah untuk menjadi bukan sekadar warden. Kekadang situasi mungkin berubah harus menjadi guru disiplin, kemudian berubah menjadi abang kepada adiknya, hatta mungkin seorang ayah kepada anaknya!!!! Mungkinkah begitu???

Tetapi hakikat itulah yang harus dilalui. Sekakat ini satu persaan sahaja ingin saya hadiahkan kepada adik-adik ‘Ibrah sekalian. “Bahawa abang sayang kepada kamu semua. Kamulah yang akan menjadi saham abang di akhirat kelak.” Senyuman terpancar pada wajahku…

Pernah suatu ketika ada pelajar ‘Ibrah datang berjumpa saya dan bertanya ;

“Abang, abang nak jadi warden kat sini sampai bila?” Tanya pelajar berkenaan sambil tersengih.

“Entahlah, mungkin sampai bulan tiga, bulan 6….Entahlah tidak pasti la pulak.” Jawabku sambil membalas senymannya.

“Ala, abang duk kat sini sampai satu tahunlah…Baru la best” Terus adik itu membuat permintaan.

Untuk itu saya tidak mampu untuk berkata apa-apa. Hanya tersenyum dan terus meneruskan pekerjaanku. Saya dapat merasakan mereka istimewa. Moga merekalah yang akan menjadi pewaris dan rijal-rijal yang akan mendaulatkan kembali kalimah Allah di muka bumi ini.

KHATIMAH

Setakat itu sahajalah dahulu coretan kali. Untuk berkongsi semuanya secara sekali gus merupakan perkara yang amat sukar bagi saya. Segala yang baik hanya datang daripada Allah, lemah dan kurang atang aripada hamba yang lemah dan fakir ini.

Sekadar makluman, mungkin selepas ini saya akan terus menyepi dalam alam maya ini. Tidak akan beronline dalam jangka masa yang agak panjang. Jadi sekiranya ada hajat yang tidak tertunai saya memohon kemaafan. Menulis juga suatu cabaran bagi saya.

Sekian,

Seorang insan……

p/s : maaflah tiada gambar yang boleh diambil di sekolah ini. Masih tiada kamera. Insya Allah pada masa kan datang saya akan selitkan gambarnya. Moga Allah redha akan kita.

Kediaman Ayah Bonda dan Famili

Taman Sungai Kechil.

Pulau Pinang.

Friday, February 11, 2011

..:: Musibah, Pesta minoriti, redha majoriti ::..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….

Alhamdulillah, setinnggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT kerana masih lagi memberi peluang kepada kita untuk tetap teguh dan utuh dalam melaksanakan kehidupan sebagai seorang  muslim yang beriman kepadaNya.
Meniti Kasih Ilahi, demi menagih jannah firdausi.

Jika kita teliti, tidak semua manusia diatas muka bumi Allah ini berpeluang untuk menikmati akan keindahan islam, mungkin ada yang muslim namun tak semua muslim itu dipilih oleh Allah untuk merasai akan nikmatnya ISLAM dan IMAN.

MUQADDIMAH

Sahabat-sahabat sidang pembaca sekalian

baru-baru ini, kita digemparkan dengan kejadian banjir yang berlaku di negeri Johor. Tragedi banjir tahun 2006 berulang kembali.

Jika kita fahami, musibah yang Allah kurniakan ini adalah untuk menilai sejauh manakah ketaatan, keimanan dan keyakinan kita kepadaNya.
sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat selaras dengan moto BERAKHLAK, MENDIDIK, & BERBAKTI.

Alhamdulillah, saya bersama 6 sahabat saya (Syahmi, Suhaib, Fitri, Ikhwan, Hasan Salimi, dan Ammar) diberi peluang oleh Allah untuk turut bersama dengan HALUAN kedah menyertai misi banjir dijohor.

Mungkin ada yang bertanya, “mengapa susah-susahkan diri nak pergi bantu dari kedah. Biar orang johor yang uruskan dahla..”

Sebenarnya, HALUAN merupakan NGO yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan selaras dengan motonya BERAKHLAK, MENDIDIK, & BERBAKTI.

“Barangsiapa yang tidak mengambil peduli perihal kaum muslimin, maka dia tidak tergolong dalam golongan mereka..” (Alhadis)

Jika kita fahami maksud hadis ini dengan sebenar-benarnya, pasti soalan-soalan itu tidak akan timbul malah mungkin kita pun sanggup untuk turut membantu walaupun ianya jauh.

Ketua rombongan HALUAN kedah, pakcik Ridhuan ada mengingatkan kepada peserta relawan “….. islam tidak mementingkan kedudukan atau pangkat, sebaliknya semua manusia adalah sama….”

Nah, inilah hebatnya ISLAM.
musibah itu menguji, untung bagi yang redha dan rugi bagi yang pesta.

MUSIBAH, PESTA BUAT MEREKA

Sesampainya kami di Kg  Parit Wirajo, Johor, kami diberi tugasan untuk mengemaskan masjid, Tabika, dan Dewan orang ramai.

Sepanjang berada disitu, kami disambut baik oleh penduduk setempat.

Setelah selesai disitu, kami berangkat ke Sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir.
Agak ramai penduduk yang dipindahkan ke situ.

Saya sempat berbual dengan  relawan HALUAN yang telah berada disitu dari awal misi ini dijalankan. Alangkah terkejutnya, pabila sahabat saya beritahu, ada pemuda-pemudi disitu menjadikan musibah yang mereka terima sebagai pesta untuk melakukan apa saja.

Malam sebelum kami sampai dipusat banjir, ada pasangan yang ditangkap berzina disitu kawasan itu. Sahabat saya membisik “ hampir setiap malam kena buat rondaan dikawasan tu…”
masyaAllah…

Kenapa ini berlaku…???

Apa pandangan anda…??
Kasihkan saudara demi mendapatkan Cinta Ilahi.

Saya tidak berniat untuk memburukkan sesiapa, namun mereka perlu dibantu agar mereka dapat mengenal islam yang sebenarnya. Tidak semestinya disitu, sebaliknya disetiap tempat yang kita tinggal mungkin ada yang belum dapat mengenal islam yang sempurna.

“setiap mukmin itu bersaudara….”

Nah, mereka adalah saudara kita.
Kita diberikan sedikit kefahaman tentang  islam perlulah membantu mereka yang mungkin belum pernah mendengar tentang islam.

MINORITI PESTA, MAJORITI REDHA

Walaupun ada yang berpesta, namun ramai yang redha dengan musibbah yang menimpa mereka. Tika kami sampai di masjid kg parit wijaro, noja (siak) masjid pada mulanya tidak meraikan sangat kehadiran team HALUAN kedah. Namun setelah selesai melakukan kerja, kami dijamu dengan jamuan ringan oleh JK masjid.

Pak cik Ridhuan sempat berkongsi sesuatu iaiitu tujuan kedatangan kami dan tujuan hidup kita didunia ini dengan noja masjid, noja masjid beritahu kepada pakcik ridhuan, “…. Kamu nih tak sama dengan orang  lain, kamu jaga solah dalam masa yang sama kamu mengambil tahu  perihal dan masalah orang lain…”
Noja masjid berasa ada sesuatu yang telah dia dapat dalam kunjungan kami.

Kami bermalam dimasjid tersebut pada malam tersebut. Alangkah terkejutnnya, apabila JK masjid meraikan kami, diberi pada kami kunci masjid, dapur masjid.

Inilah yang dikatakan, dakwah tak semestinya dengan berkata-kata sebaliknya antara dakwah yang berkesan juga ialah dakwah bil hal (qudwah hasanah).
menjadikan medan ini sebagai satu perjuangan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

KHATIMAH

Konklusinya, kita seharusnya memahami islam dengan sebenarnya agar kita dapat merasai betapa islam itu satu nikmat yang tidaak dapat dibandingkan dengan agama atau cara hidup yang lain.
Pabila kita diberi sedikit kefahaman tentang islam, maka sewajibnya kita cuba untuk menyampaikannya kepada orang lain. Medan berdakwah bukannya tertumpu kepada pandainya seseorang itu bercakap , sebaliknya dengan menunjukkan akhlak yang baik juga merupakan salah satu medan dakwah.
Justeru, tidak alasan untuk kita tdak melaksanakannya.

*jika berkesempatan, saya akan masukkan gambar-gambar relawan HALUAN sewaktu misi banjir Batu Pahat, Johor.

Wednesday, February 9, 2011

..:: Berkasih, Walau Tak Pernah Bertemu ::..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....

alhamdulillah, Allah masih lagi memberi kesempatan kepada kita semua untuk menikmati pelbagai nikmat yang telah dikurniakan tanpa meminta bayaran walau sesen pun. Kali ni, Allah memberi peluang kepada saya untuk berkongsi sesuatu kepada sahabat-sahabat sekalian.
Ukhuwah yang utuh dan jitu mampu melahirkan kehangatan cinta sesama sahabat kerana Dia..

Pernah tak anda semua dengar, orang berkasih sayang dan saling mencintai tetapi tak pernah bertemu dengan orang yang disayangi itu...~!!???

mungkin ada yang akan cakap, " tipulah, mana ada orang boleh sayangkan orang lain sedangkan mereka tak pernah berjumpa.. mengarut je lah...~!"

jika saya, saya akan jawab ada.

Memang sukar untuk mempercayainya, namun bagi yang yakin akan kasih sayang pasti akan mempercayainya.
Berkasih hanya kerana-Nya yang Esa demi menggapai syurga yang indah.

CINTA, NAMUN TAK PERNAH BERTEMU

jika sudah ada perasaan cinta, pasti yang susah akan menjadi senang, manakala yang senang akan bertambah senang.

ayuh bersama-sama saya, kita seloroti kisah seorang Tabi'in yang hidup dizaman Rasulullah namun tak pernah bertemu dengan Rasulullah.

beliau berhasrat untuk bertemu dengan Rasulullah namun hasratnya tak kesampaian. beliau adalah Uwais Alqarni.

Beliau tinggal di Yaman bersama ibunya dan amat kasihkannya, tak pernah sekalipun beliau menyakiti hati ibunya. Uwais amat cintakan Rasulullah dan beliau menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Kekasih Allah ini.

 dipendekkan cerita, Uwais membeli seekor lembu. Lembu tersebut dipelihara diatas sebuah bukit, tetapi lembu tersebut makan rumput dikaki bukit.

Maksudnya, Uwais AlQarni setiap hari mendukung anak lembu dari atas bukit ke kaki bukit semata-mata untuk memberi makan dan menjadikan ia sebagai latihan sebelum mendukung ibunya untuk pergi berjumpa dengan Rasulullah.

Pabila tiba masanya, Uwais pun mendukung ibunya yang sakit itu untuk berjumpa dengan Rasulullah. Dalam perjalanan, ibunya telah pun meninggal dunia.

Seusai menguruskan jenazah ibunya, Uwais pun meneruskan perjalanannya demi merealisasikan hasratnya untuk bertemu dengan Kekasih yang amat dia cintai. Sesampainya Uwais dirumah Rasulullah, didapati bahawa Rasulullah telah pun wafat sehari sebelum beliau sampai. Hal ini membuatkan beliau bertambah sedih dan dukacita.
Ukhwah yang ikhlas kerana Allah akan membuahkan hasil yang tidak terjangkau..~!

Nah..~!!
bukankah ini bukti betapa kasih dan cinta terhadap orang yang tidak pernah ditemui itu wujud...??

justeru itu, walaupun kita mungkin tidak pernah bersua muka namun biarlah hati kita saling bertaut demi mencari redha dan rahmatNya.

ayuhlah sahabat-sahabatku,
kita mencontohi peribadi yang telah ditonjolkan oleh Uwais Alqarni supaya kehangatan kasih antara kita sentiasa berada diatas landasan yang Allah cinta.

marilah kita memasukkan diri kita didalam lembaran sirah para sahabat dan tabi'in, supaya kita dapat mencontohi peribadi mereka yang amat dikasihi oleh Allah SWT.
Benih ukhwah harus dipupuk, ia tidak akan datang bergolek.  sebaliknya untuk mengecapinya memerlukan  pengorbanan yang besar.

"nikmat selepas nikmat IMAN dan ISLAM ialah memiliki SAHABAT yang SOLEH, jika kamu dapati kewujudan kasih sayang antara kamu dan dia maka peganglah ia dengan sungguh-sungguh.."
(Umar Alkhattab)